Rawat sebelum terlambat
Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
UJIAN mamogram perlu dilakukan secara berkala bagi wanita berusia 40 tahun ke atas manakala wanita muda pula sesuai dilakukan imbasan ultra bunyi.
MEMANG benar ketulan pada payu dara terutamanya wanita yang masih muda selalunya bukan kanser. Ia mungkin ketumbuhan tidak berbahaya (benign), ketumbuhan bukan kanser, jangkitan kuman ataupun sista.
Kanser merupakan pembunuh wanita utama di Malaysia dan sering menyerang wanita berusia 40 tahun ke atas.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (NCR) 2007, statistik menunjukkan kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap dalam kalangan wanita selain merupakan nombor satu di Malaysia . Malah sejumlah 3,242 wanita menghidap kanser payudara dilaporkan pada tahun 2007 yang mana wanita berusia 50 hingga 59 tahun paling tinggi menghidapinya.
Walaupun paratusan berlakunya kanser payudara pada wanita muda adalah rendah, tetapi, menurut Pakar Onkologi Klinikal dan Ahli Radioterapi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Ahmad Kamal Mohamed, ia lebih agresif jika dihidapi oleh wanita berusia 20-an dan 30-an.
“Jika pesakit berusia lingkungan 20-an dan awal 30-an, selalunya doktor akan lebih agresif dari segi rawatan walaupun tumornya kecil kerana ia lebih berisiko tinggi.
“Jangan pandang ringan dengan ketumbuhan pada payudara kerana jika benar ia kanser dan lambat mendapatkan rawatan, ia mungkin sudah berada pada tahap yang teruk dan boleh membawa maut kerana telah merebak ke organ penting yang lain seperti jantung dan hati,” ujarnya yang turut terlibat dengan kempen Kesedaran Kanser Payudara yang dianjurkan Pusat Perubatan Subang Jaya di Subang Parade, hari ini.
Kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih agresif kerana selalunya mereka mempunyai gen mutasi BRCA1 dan BRCA2. Tambahan, diagnosis kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih sukar kerana tisu payudara mereka secara am lebih padat berbanding wanita yang berusia. Saat ketulan pada payudara wanita muda boleh dirasai, selalunya kanser sudah merebak.
Selain itu, ramai wanita muda yang menghidapi kanser payudara tidak mengendahkan simptom yang dialami seperti ketulan pada payudara dan pengaliran luar biasa menerusi puting kerana merasakan mereka terlalu muda untuk menghidap kanser payudara.
Tegasnya, pemeriksaan sendiri payudara secara berkala amat penting kerana rawatan di peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa pesakit namun ramai pesakit yang hanya bertemu doktor apabila kanser tersebut sudah teruk kerana sikap sambil lewa dan kurang prihatin dengan perubahan pada bahagian payudara.
“Bagi penghidap kanser payudara tahap awal, peluang untuk pulih adalah tinggi. Jika lambat dan telah merebak hingga tahap empat, ia mungkin masih boleh dikawal untuk tempoh beberapa tahun tetapi tidak boleh dipulihkan,” terangnya.
Punca
Ujar Dr. Ahmad Kamal, kanser payudara berlaku berikutan perubahan sel kepada sel kanser pada bahagian kelenjar payudara yang menghasilkan susu atau bahagian tiub iaitu yang mengalirkan susu ke puting.
“Sebanyak 95 peratus kanser berlaku pada bahagian tiub yang dipanggil invasive ductal carcinoma dan lima peratus pada bahagian kelenjar yang digelar invasive lobular carcinoma.
“Punca utama masih belum diketahui secara tepat cuma beberapa faktor menambahkan risiko kanser payudara dilihat ada kaitan dengan hormon wanita,” ujarnya.
Berikut merupakan antara faktor meningkatkan risiko berlakunya kanser payudara.
1 Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun).
2 Lewat putus haid (58 tahun ke atas).
3 Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada usia 30 tahun ke atas.
4 Sejarah keluarga, mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi kanser payudara seperti ibu atau adik-beradik perempuan.
5 Mengamalkan pemakanan tinggi lemak.
6 Menghidapi ‘atypical hyperplasia'.
Simptom
* Ketulan atau ketebalan pada bahagian payudara yang dirasakan berbeza dengan bahagian lain.
* Cecair seperti darah keluar daripada puting payudara.
* Perubahan saiz atau bentuk payudara.
* Perubahan pada kulit sekeliling payudara seperti lekuk.
* Puting payudara masuk ke dalam.
* Kulit atau bahagian puting mengelupas atau bersisik.
* Kulit payudara kemerah-merahan atau berlekuk-lekuk seperti kulit buah oren.
Pencegahan
Bilakah kali terakhir anda melakukan sendiri pemeriksaan payudara? Tahukah anda, kebanyakan kes kanser payudara ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika di rumah?
Digalakkan untuk melakukannya setiap bulan di tengah-tengah kitaran haid iaitu kira-kira seminggu hingga dua minggu selepas hari terakhir haid. Waktu terbaik untuk melakukannya ketika sedang mandi kerana sabun akan memudahkan untuk memeriksa payudara.
“Selain itu, cara pencegahan terbaik ialah mengamalkan cara hidup yang sihat dengan tidak merokok, tidak mengambil minuman alkohol, mengurangkan makanan yang berlemak, memperbanyakkan sayur-sayuran, cukup tidur dan bersenam,” ujarnya.
Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas, lakukan mamogram sekali sebulan dan bagi wanita lebih muda, imbasan ultra bunyi boleh dilakukan.
Rawatan
Menurut Dr. Ahmad Kamal, apabila menemui ketulan pada payudara, jangan terus berasa resah kerana 70 hingga 80 peratus kes selalunya ia bukanlah kanser contohnya fibroadenoma. Namun, pesakit perlu segera bertemu dengan doktor untuk melakukan beberapa ujian bagi memastikan sama ada ia adalah kanser atau masalah lain.
Pertama, ujian imbasan mamogram dan ultra bunyi dilakukan pada bahagian payudara. Ujarnya, ia boleh menentukan sama ada sel adalah benign atau sel malignant tetapi biopsi perlu dilakukan bagi menentukan jenis sel tersebut.
“Rawatan pertama ialah pembedahan, bergantung pada saiz ketulan. Jika ia kecil, sekitar tiga hingga empat sentimeter, hanya ketulan tersebut serta sedikit tisu disekitarnya akan dibuang yang dipanggil eksisi lebar (wide excision) atau lumpectomy.
“Jika ia besar atau mengambil ruang majoriti saiz payudara, pembedahan membuang payudara iaitu mastektomi akan dilakukan,” terangnya.
Selain pembedahan pada bahagian payudara, pembedahan membuang bahagian kelenjar di ketiak perlu dilakukan yang dipanggil axillary clearence bagi memastikan tiada sel kanser tersebar.
Namun ujar Dr. Ahmad Kamal, ada sesetengah hospital sudah mula menjalankan prosedur baru iaitu biopsi nodus sentinel (sentinel node biopsy) iaitu pewarna akan disuntik ke bahagian kanser dan ia dapat memastikan sama ada kanser sudah merebak atau belum ke bahagian kelenjar ketiak.
Selepas pembedahan, beberapa ujian akan dilakukan iaitu imbasan CT, MRI, imbasan PET CT dan ujian sumsum tulang bagi memastikan ia tidak merebak ke organ lain.
Rawatan kimoterapi berkemungkinan akan diberikan selepas pembedahan jika ada kelenjar limfa terlibat, tumor adalah besar, kanser gred yang tinggi atau ganas atau usia pesakit masih muda.
“Jika pembedahan buang ketulan saja, radioterapi adalah wajib tetapi mastektomi pula bergantung kepada saiz tumor tersebut.
“Penerimaan hormon estrogen dan progesteron turut akan diukur selepas pembedahan dan jika ia tinggi, pesakit perlu menjalani rawatan hormon selepas kimoterapi iaitu bentuk pil yang perlu diambil setiap hari selama lima tahun,” terangnya.
Sumber : www.utusan.com.my
Blog Archive
-
▼
2015
(88)
-
▼
April
(88)
- Khasiat Minyak Kelapa Dara Hasil kajian saintifik ...
- Diet sihat elak penyakit BERDASARKAN Kajian Kesiha...
- Apakah itu Tonsil? Tonsil ialah sejenis tisu limfo...
- 9 Panduan pengurusan ekzema ✔ Elakkan mandi terlal...
- Posisi Penyusuan / Breastfeeding Position ~ Posisi...
- TAK TAHAN KERAP SAKIT LUTUT?Kalau tak berubat, sus...
- SEBENARNYA ANDA ADA RESDUNG!!! MUKA BERJERAWAT? Hi...
- Beware!!
- Petua Kesihatan: Berikut adalah 10 Makanan Yang Me...
- pilihan di tangan anda.
- KATARAK-----------------Tanda-tanda dan simptom1. ...
- 10 TABIAT YANG MEROSAKKAN OTAK 1. Tidak mengambil ...
- tiga menu "bahaya"
- Keputihan tidak halang keintiman
- Risiko kanta lekap
- Fibroid semasa hamil
- Botak di usia muda
- Kulit baru harapan baru
- Risiko Obesiti semasa hamil
- Flos gigi, kumur mulut anda
- Teknik baharupembedahan saraf
- Hidup selesa tanpa GERD
- Implan dwi-stent untuk jantung
- Peria bersihkan darah
- Elak payudara membengkak
- Elak penyakit akibat jerebu
- Jangan abai tanda awal diabetes
- Rawat sebelum terlambat
- Vitamin C, kolagen untuk kulit
- Sakit permulaan haid
- Lambatkan penuaan
- Sopak sejenis penyakit kulit
- Sawan demam bukan epilepsi
- 7 MAKANAN KURANGKAN KOLESTEROL
- 3 Tip elak mulut berbau
- 5 Sebab Mengapa Rambut anda gugur
- Ancaman kencing manis
- Ekzima dan Psoriasis
- Rajin periksa kesihatan
- Sakit dada bukan hal remeh
- Kunyit bantu kawal diabetes
- Batuk biasa atau kronik?
- Penyakit kulit kronik
- Cara atasi sakit kepala
- Bukan sekadar sakit tekak
- Ramai tak tahu hidap darah tinggi
- Manfaat sayur dalam darah
- Bahana kolesterol tinggi
- Virus punca sakit tekak
- Kawal tahap kolesterol
- Ibu hamil lemah daya imun tubuh
- Racun yang manis
- Pastikan wanita kekal sihat
- Petua Mencantikkan Kening
- Petua Melentikkan Bulu Mata
- Petua Melicinkan Betis
- Petua Menghilangkan Rambut Berbuah
- Petua Merawat Kudis Buta
- Petua Menghilangkan Karat Gigi
- Petua Mengubati Lelah
- Petua Melegakan Pedih Perut
- Petua Melembutkan Ayam Tua
- Petua Mengelakkan Pedih Bawang
- Petua Membersihkan Microwave
- Petua Merawat Gusi Berdarah
- Petua Merawat Bibir Pecah Akibat Kepanasan
- Petua Memilih Ikan Segar
- Petua Melazatkan Ikan Beku
- Petua Melembutkan Sotong Kering
- Petua Menghilangkan Bau Durian
- Petua Mengurangkan Selesema Bayi
- Petua Menghilangkan Benjol
- Petua Menegangkan Kulit Muka
- Tips Diet Yang Mudah Dan Seimbang
- 10 Langkah Untuk Kehamilan Sihat
- Bahaya Sukan Pada Waktu Malam
- Tips Kesihatan Dari Nabi Muhammad SAW
- Makanan Terbaik Untuk Lelaki
- Khasiat Yang Terdapat Di Dalam Nasi
- 25 Tips Untuk Anak Pandai Bahasa Inggeris
- 10 Makanan Terbaik Untuk Kulit Yang Cantik
- Punca Dan Cara Mengatasi Rambut Beruban Sebelum Usia
- Serba-Serbi (Proses) Pembedahan Plastik
- Cara Kawal Penyakit Gout
- “Ubat Jahanam Tu Hancurkan Hidup Saya”
- Tips Amalan Pemakanan Sihat
- Petua Menjaga Kesihatan Mata
- Pembongkaran Rahsia Dan Petua Kecantikan Wanita Ke...
-
▼
April
(88)
No comments :
Post a Comment