Khasiat Minyak Kelapa Dara Hasil kajian saintifik dan penyelidikan yang dibuat,...
Sumber : https://www.facebook.com/infokesihatan
Diet sihat elak penyakit BERDASARKAN Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional ke...
Sumber : https://www.facebook.com/infokesihatan
Apakah itu Tonsil? Tonsil ialah sejenis tisu limfoid yang merupakan sebahagian...
Sumber : https://www.facebook.com/infokesihatan
9 Panduan pengurusan ekzema ✔ Elakkan mandi terlalu lama, Jangan mandi air pana...
Sumber : https://www.facebook.com/infokesihatan
Posisi Penyusuan / Breastfeeding Position ~ Posisi penyusuan yang baik ~ Sentu...
Sumber : https://www.facebook.com/kesihatan.info
TAK TAHAN KERAP SAKIT LUTUT?Kalau tak berubat, susah nak baik tu... Masalah2 b...
Sumber : https://www.facebook.com/kesihatan.info
SEBENARNYA ANDA ADA RESDUNG!!! MUKA BERJERAWAT? Hidung gatal, berair, bersin bi...
Sumber : https://www.facebook.com/kesihatan.info
Petua Kesihatan: Berikut adalah 10 Makanan Yang Membakar Lemak 1. Oat :Ia buk...
Sumber https://www.facebook.com/sayanakkurus
KATARAK-----------------Tanda-tanda dan simptom1. Penglihatan yang kurang jel...
Sumber https://www.facebook.com/sayanakkurus
10 TABIAT YANG MEROSAKKAN OTAK 1. Tidak mengambil sarapan pagi. Apabila seseor...
Sumber https://www.facebook.com/sayanakkurus
Keputihan tidak halang keintiman
Keputihan bukan punca utama mengganggu hubungan seks suami dan isteri. – Gambar hiasan
Soalan
SAYA berusia 24 tahun dan sudah berkahwin hampir setahun, masih belum dikurniakan zuriat. Saya mengalami masalah keputihan dan telah menjalani ujian pap smear. Doktor mengatakan saya terkena jangkitan kuman atau bakteria dan diberikan antibiotik dan ubat untuk dimasukkan ke dalam faraj, tetapi kesannya hanya pada ketika itu saja. Saya runsing kalaulah masalah keputihan itu menghalang saya untuk mempunyai zuriat? Apakah punca keputihan?
- Tini, Kuala Lumpur
Jawapan
Anda boleh menjalani ujian pengesahan jenis kuman secara kesatan pada faraj (swab) dan ujian darah. Lelehan keputihan tidak semestinya berkait dengan jangkitan kuman. Biasanya, lelehan yang berwarna kehijauan disebabkan oleh kuman tertentu. Tidak semua jangkitan kuman pada faraj boleh menghalang kesuburan. Tetapi masalah ini secara tidak langsung mengurangkan aktiviti hubungan seks dan sudah tentu mengurangkan peluang untuk hamil. Di samping itu, jangkitan kuman tertentu boleh masuk lebih jauh ke dalam pelvis dan mengakibatkan keradangan pada organ dalam pelvik. Akibatnya terjadi kerosakkan pada organ pelvis sehingga menyebabkan penyumbatan pada salur Fallopio. Anda masih muda, peluang untuk hamil masih tinggi, mungkin anda ingin berjumpa pakar sakit puan sekarang ataupun menunggu sehingga perkahwinan sudah melebihi daripada setahun, usah menunggu lebih lama daripada itu.
Punca
Masalah keputihan pada kemaluan wanita atau dikenali sebagai vagina candidiasis disebabkan oleh pembiakan kulat pada bahagian tersebut. Ini kerana setiap kali hubungan seks dilakukan, ia akan terdedah kepada faktor kebersihan antara anda dengan suami. Oleh itu, langkah berjaga-jaga perlu diamalkan untuk mengurangkan faktor tersebut dengan memastikan ia selamat dan bersih. Manakala penggunaan kondom tersebut hendaklah dipastikan kebersihannya dan anda tidak mengalami sebarang kecederaan akibat penggunaannya yang akan menyebabkan jangkitan bermula.
Selain itu, keputihan berpunca daripada perubahan hormon terutama ketika hamil, mengalami tekanan perasaan dan lain-lain lagi. Keputihan akan menyebabkan bahagian yang pada dasarnya terdedah kepada persekitaran luar jika dibandingkan dengan kemaluan lelaki akan mudah dijangkiti jika kebersihan tidak diamalkan. Jangkitan vagina candidiasis berlaku di sekitar bahagian antara serviks dan faraj. Jika rawatan tidak dilakukan, ini akan menyebabkan jangkitan sekunder dan menganggu kesihatan anda serta bayi dalam kandungan.
Penyakit seperti diabetes mellitus juga mengalakkan keputihan berlaku berulang kali kerana aras glukosa yang tinggi dalam darah mengakibatkan jangkitan senang berlaku. Tiada kemungkinan yang menyatakan keputihan akan menyebabkan benih suami akan mati. Faktor-faktor lain yang menyebabkan infertiliti sekunder seperti kitaran haid yang tidak teratur, ketumbuhan, ketidak stabilan hormon dan jangkitan kuman yang kronik harus diambil perhatian.
Setiap satu jangkitan mempunyai sifat lendiran dan bauan tertentu. Dapatkan nasihat doktor untuk memastikan bahawa keputihan itu adalah cuma lendiran faraj biasa dan bukannya disebabkan oleh jangkitan. Jika anda aktif dalam melakukan hubungan seks, maka anda perlu menjalankan ujian pap smear dan pemeriksaan pelvis.
Gunakan alas seluar dalam (panty liner) untuk mengurangkan lendiran dan radang pada kemaluan. Elakkan wangian dan pencuci antiseptik kerana ini akan memudaratkan keadaan.
Sumber : www.utusan.com.my
Risiko kanta lekap
Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Nur Aishah Mazalan
Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar (kiri) membuat pemeriksaan mata menggunakan alat imbasan kanta mata.
Memakai kanta lekap bukan sahaja memudahkan rutin harian dilakukan tanpa gangguan, malah ia juga memberikan keselesaan kepada pengguna kerana tidak perlu lagi mengenakan kaca mata.
Sebab itu kanta lekap menjadi kegemaran bagi menggantikan pemakaian kaca mata. Terdapat pelbagai jenis dan warna yang menjadi pilihan terutama bagi remaja dan dewasa.
Namun, secara realitinya tidak ramai yang peka dan mempunyai pengetahuan tentang penjagaan dan cara-cara memakai kanta lekap yang betul.
Perunding Ophthalmologist, Dr. Saira Fairma Ismail Mokhtar berkata, pengguna kanta lekap perlu berdisiplin dalam penjagaan terutama aspek kebersihan.
"Ini kerana, jika silap langkah atau kurang penjagaan, kanta lekap boleh memberi masalah kepada penggunanya.
"Pengguna kanta lekap perlu mempunyai motivasi tinggi jika ingin memakai kanta lekap. Sebelum kanta dipakai, tangan perlu di basuh dengan sabun terlebih dahulu dan biarkan kering sebelum menyentuh kornea mata.
"Elakkan daripada berkongsi kanta lekap dengan orang lain dan tidak memakainya dalam tempoh terlalu lama sehingga melebihi lapan jam.
“Bekas kanta lekap digunakan perlu dicuci setiap kali sebelum pakai. Seeloknya pemakaian juga perlu mengikuti bilangan jam tertentu setiap hari dan tidak disarankan tidur bersama-sama kanta lekap kerana ditakuti ada komplikasi,” katanya.
Dr. Saira Fairma berkata. pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian kornea mata.
" Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan
"Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria.
“Kanta lekap yang dipakai dalam tempoh lama menyebabkan mata menjadi bukan toleransi kepada kanta lekap. Jika berlaku keadaan sedemikian, mereka dinasihatkan berhenti dahulu selama beberapa bulan sebelum kembali memakainya kembali apabila keadaan sudah baik.
"Kebanyakan individu yang berdepan masalah ini ialah mereka yang tidak mengikut cara penjagaan kanta lekap yang betul selain mungkin menggunakan cecair pencuci, rendaman atau bilasan yang tamat tempoh atau masih menggunakan bekas menyimpan atau merendam kanta lekap yang lama dan kotor,” katanya.
Menurut Dr. Saira Fairma lagi, pemakaian kanta lekap untuk tujuan kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga kebersihan semasa memakainya.
Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.
Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik adalah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan.
" Terdapat dua jenis kanta lekap yang dijual di pasaran untuk tujuan rawatan iaitu jenis lembut dan keras. Kanta lekap paling digemari pelanggan adalah jenis lembut kerana lebih selesa dan mudah untuk menyerap cecair dalam mata.
“Permukaan yang lembut juga memudahkan oksigen diserap masuk pada permukaan kornea mata dan membantu mengurangkan berlaku masalah kekeringan. Kanta lekap jenis pakai buang dalam kategori lembut mempunyai waktu tertentu untuk dipakai oleh pengguna.
"Kanta lekap jenis keras pula boleh dipakai dalam jangka masa yang lebih lama tetapi meninggalkan kesan ketidakselesaan kepada mata pengguna. Kebanyakan kanta lekap untuk merawat rabun adalah warna jernih,” katanya.
Terang Saira Fairma, terdapat beberapa sebab yang menghalang individu berkaitan menggunakan kanta lekap sebagai alternatif menggantikan kaca mata biasa.
"Mereka yang mempunyai masalah jangkitan kuman pada mata, mata kering dan alergi mata tidak digalakkan untuk memakai kanta lekap
"Individu yang sentiasa berada dalam persekitaran yang tidak bersih dan kotor seperti debu perlu mengelakkan daripada memakai kanta lekap kerana ditakuti memberi kesan kepada kesihatan mata,” katanya.
Ujar beliau lagi, seeloknya pengguna dinasihatkan berjumpa pakar di klinik sebelum mengambil keputusan menggunakan kanta lekap supaya kanta yang akan dipakai sesuai dengan lengkungan kornea mata iaitu tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar.
Kanta lekap yang dibeli di kedai Optometri yang diluluskan dan mempunyai pengesahan lebih selamat digunakan berbanding hanya membelinya di kedai-kedai biasa.
Sumber : www.utusan.com.my
Fibroid semasa hamil
Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
FIBROID sejenis penyakit yang menyerang wanita tanpa menunjukkan sebarang tanda seseorang itu menghidapnya.
Kebiasaannya mereka hanya mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit tersebut pada peringkat fibroid tersebut telah membesar.
'Menyerang' kaum Hawa yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun (usia reproduktif), fibroid adalah satu ketumbuhan yang jinak atau benign tumor yang biasa pada rahim wanita.
Didapati lebih 20 hingga 25 peratus wanita mempunyai fibroid, wanita hamil juga tidak terkecuali daripada penyakit ini.
Menurut Pakar Perunding Sakit Puan dan Perbidanan, Mahkota Medical Centre, Dr. Ahmad Saifuddin Ahmad Yahaya, fibroid yang ada pada wanita hamil bukanlah satu perkara luar biasa kerana ibu-ibu hamil akan menghasilkan lebih estrogen di mana ia akan menyebabkan fibroid tersebut menjadi aktif.
Katanya lagi, majoriti wanita yang menghidap penyakit ini tidak akan mengalami simptom-simptom bagaimanapun ia bergantung di mana fibroid itu berada serta saiznya.
Tambah beliau lagi, individu yang mempunyai fibroid hanya akan berasa sakit sekiranya fibroid mengalami pendarahan dan jangkitan kuman yang kebiasaannya pada fibroid yang bersaiz besar.
Fibroid yang bersaiz besar kadangkala menekan pundi kencing menyebabkan individu mempunyai simptom sering kencing manakala fibroid di dalam ruang endometrium atau submukosa iaitu pada dinding rahim yang akan menyebabkan individu tersebut sukar untuk hamil kerana penyempitan pada salur fallopio boleh berlaku.
"Dalam kalangan wanita hari ini, 20 hingga 25 peratus daripada mereka mempunyai fibroid bagaimanapun daripada jumlah ini 10 hingga 12 peratus sahaja yang menghidapinya ketika hamil.
“Bagi wanita sedang hamil tidak semua fibroid akan membesar atau aktif .
"Fibroid membesar ketika hamil adalah disebabkan hormon estrogen yang meningkat ketika hamil, begitupun tidak semua fibroid akan membesar atau aktif ketika hamil.
"Kebiasaannya fibroid yang berukuran lebih daripada enam sentimeter berkemungkinan untuk lebih membesar ketika hamil dan pemantauan perlu dilakukan secara pemeriksaan klinikal atau imbasan ultrasound untuk melihat sama ada fibroid membesar serta melihat perkembangan fibroid ketika hamil,” ujarnya.
Sumber : www.utusan.com.my
Botak di usia muda
Kebiasaannya penuaan selalu dikaitkan dengan masalah kulit wajah sehingga terlupa bahawa rambut juga mengalamai masalah penuaan apabila uban dan keguguran rambut yang menyebabkan masalah botak menjadi petanda.
Namun begitu ramai yang beranggapan bahawa masalah rambut serius seperti botak hanya dialamai oleh mereka yang meningkat usia, sedangkan pada hakikatnya golongan muda juga tidak terlepas daripada mengalami masalah ini.
Masalah keguguran rambut antara 50 hingga 100 helai sehari dikategorikan sebagai normal, tetapi jika berlebihan maka ia perlu diberi perhatian agar tidak menjadi lebih serius.
Banyak mitos sering dikaitkan dengan masalah keguguran rambut misalnya disebabkan kerap membasuh rambut, menyikat rambut, mewarna rambut, banyak berfikir dan sebagainya, sedangkan ia tidak berkaitan dengan masalah itu.
Antara punca sebenar berlakunya masalah botak ialah genetik. Ia boleh diwarisi daripada kedua ibu bapa atau boleh berlaku atas tindak balas hormon dalam badan.
Selain itu, kesihatan rambut turut dipengaruhi oleh pengambilan ubat-ubatan dan bahan kimia. Pengambilan zat seperti kalsium dan zink boleh menyihatkan rambut. Walau bagaimanapun, jika mengambil terlalu banyak vitamin A dan D juga boleh menyebabkan keguguran rambut.
Serangan autoimmune, jangkitan mikro organisma dan penyakit kulit juga menjadi punca kepada masalah rambut yang serius.
Oleh itu, pencegahan awal perlu dilakukan lebih-lebih lagi oleh si jejaka yang mempunyai peratusan lebih tinggi berbanding wanita dalam masalah keguguran rambut.
Untuk mengatasi masalah ini, langkah pencegahan seperti pengambilan nutrien secara seimbang amat digalakkan. Ini bukan sahaja dapat membantu kesihatan rambut, malah kesihatan tubuh badan juga turut terjaga.
Apa yang paling penting, kebersihan kulit dan rambut perlu diberikan perhatian demi menjauhi masalah botak. Melindungi rambut daripada sinaran ultra lembayung juga antara cara terbaik untuk mengelakkan rambut gugur.
Sumber : www.utusan.com.my
Kulit baru harapan baru
Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN
nisa.sulaiman@utusan.com.my
Foto Ehsan Cell Tissue Technology Sdn. Bhd.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Hilmi Yahaya melihat kaki Mohd Haziq sambil diperhatikan oleh Prof. Ruszymah (berdiri kiri) dan Dr. Khairul (berdiri empat dari kiri).
TAHUN lalu tarikh 14 Julai, hari ke lima Ramadan, Mohd Haziq Mohd Yusof, 14, pelajar Sekolah Kebangsaan Pekan Baru Muar, Muar, Johor sedang asyik memasang pelita dengan adik-beradik, sepupu dan rakan-rakan di kampungnya. Entah macam mana botol yang berisi minyak tanah terbalik dan menyambar api pelita yang berada tidak jauh dari Haziq.
Haziq panik melihat seluar sukan sebelah kirinya terbakar. Api semakin marak. Haziq menjerit kesakitan dan cepat-cepat berlari dan apa yang ada di fikiran ialah parit di depan rumah. Cepat-cepat dia melompat masuk ke dalam parit yang penuh dengan air. Jika tidak mungkin seluruh badannya boleh terbakar dan melecur.
Ayahnya Mohd Yusof yang berada di dalam rumah bergegas keluar dan menghantar Haziq ke Hospital Batu Pahat, Johor dan Haziq terpaksa tinggal lebih sebulan di sana bagi mendapatkan rawatan. Keadaannya yang tidak menujukkan sebarang perkembangan positif menyebabkan ayahnya membawa anaknya pulang ke rumah mendapatkan rawatan tradisional.
“Malangnya keadaan Haziq bertambah parah dan kami membawanya mendapatkan rawatan pakar di sebuah hospital swasta. Pihak hospital melakukan proses Skin Grafting,” katanya.
Skin Grafting ialah proses pencantuman kulit yang biasa dilakukan di hospital. Cantuman kulit ialah kaedah mengeluarkan lapisan kulit daripada bahagian tubuh yang sihat (dikenali sebagai kawasan penyumbang), untuk digunakan bagi menutupi bahagian badan yang telah melecur. Proses ini amat menyakitkan terutama ketika memotong kulit daripada kawasan penyumbang.
Dalam kes Haziq, kulit di kaki kanan diambil dan ditampal pada kawasan yang cedera di sebelah kiri.
“Bagaimanapun keadaan kaki kiri Haziq tidak sembuh manakala kaki kanannya pula dijangkiti kuman dan di sana saja kami telah menghabiskan lebih RM30,000,” katanya.
Tidak tahan melihat anak bongsunya yang merintih kesakitan, Mohd Yusof menebalkan muka mendapatkan bantuan orang ramai melalui akhbar dan media tempatan.
“Esoknya saya menerima panggilan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cell Tissue Technology Sdn. Bhd., Dr. Khairul Idzwan Baharin yang menawarkan bantuan bagi merawat Haziq,” katanya.
Cell Tissue Technology ialah syarikat kelolaan UKM bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan dari Pusat Kejuruteraan Tisu UKM kepada pasaran tempatan dan global.
“Ketika itu saya bagaikan mati hidup semula, terasa ada cahaya,” katanya yang tidak berlengah ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Dr. Khairul baru saja habis mesyuarat semasa mendapat panggilan daripada Mohd Yusof.
“Saya benar-benar terperanjat ketika mendapat panggilan daripada ayah Haziq kerana pihak kami belum membuat sebarang persiapan tetapi atas bantuan semua kakitangan akhirnya semua berjalan lancar dan Haziq dalam dimasukkan ke wad Unit Kebakaran,” katanya.
Menurut Dr. Khairul, keadaan Haziq memang parah semasa dibawa ke PPUKM. Selain hanya terlantar di katil, kakinya telah mendapat jangkitan kuman malah remaja itu tidak dapat bergerak dan hanya mengerang kesakitan. Emosinya tidak stabil dan murung kerana kesakitan yang dihadapinya.
“Setelah semua pemeriksaan dijalankan, kami mengambil 2cm x 6cm kulit di bahagian pelipat paha bagi memastikan parut tidak kelihatan. Kulit itu dikultur menggunakan darah yang diambil daripada bapanya kerana keadaan Haziq tidak mengizinkan,” katanya.
Proses dan teknik yang dinamakan MyDermTM ialah hasil daripada penyelidikan selama lebih 10 tahun oleh Pusat Kejuruteraan Tisu UKM, yang juga diketuai oleh Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Cell Tissue Technology, Prof. Dr. Ruszymah Idrus. Hasil penyelidikannya sebelum ini berjaya merawat beberapa pesakit, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang melecur hampir seluruh badan kerana terbakar.
Teknologi MyDermTM telah dipatenkan di Malaysia dan luar negara, membolehkan Cell Tissue Technology menjadi satu-satunya syarikat yang boleh mengkomersialkan produk perubatan seumpama MyDermTM. Menariknya, Cell Tissue Technology mensasarkan untuk menghasilkan lebih banyak produk perubatan berteknologi tinggi yang bukan saja menjurus kepada kulit tetapi hampir ke semua organ tubuh manusia.
“Kulit ialah tisu dan dengan pengkulturan sel daripada sampel sebesar 2cm x 6cm yang diambil daripada tubuh Haziq telah membolehkan kami menghasilkan kulit baru tanpa memotong banyak kulit lain untuk proses pencantuman kulit yang ada.
“Pertama pakar kejuruteraan tisu kami meleraikan sampel tisu dalam makmal kejuruteraan tisu. Ini akan membolehkannya mengeluarkan sel kulit tersebut. Kulit terdiri daripada dua lapisan. Lapisan luar dikenali sebagai epidermis yang mengandungi sel keratinocyte. Lapisan dalaman kenali sebagai dermis, mengandungi sel fibroblast,” katanya.
Pengkulturan kedua-dua jenis sel dilakukan secara berasingan kerana keperluan sel yang berbeza. Apabila sel secukupnya telah berjaya dihasilkan, kedua-dua lapisan kulit itu akan dicantumkan satu sama lain.
“Semuanya diambil daripada pesakit seperti kulit dan darah tetapi dalam kes Haziq, kami menggunakan darah ayahnya bagi kultur kulit dan hasilnya memang tiada tindak balas penolakan kerana diambil daripada waris terdekat,” katanya.
MyDermTM dikatakan yang pertama di dunia kerana menggunakan sel daripada individu sendiri untuk dibiakkan dan lebih menarik tidak perlu risau dengan tindak balas penolakan.
Malah teknik ini tidak perlu diragui tahap halalnya kerana semua diambil daripada individu yang sama atau waris mereka dan tiada bendasing di dalamnya, terutama daripada haiwan.
“Dalam masa dua hingga tiga minggu, 10 keping kulit gantian telah dapat dihasilkan dan kemudian dilekatkan di bahagian melecur di kaki Haziq. Pembedahan itu telah dapat dilakukan dengan jayanya dan kini Haziq bukan saja boleh berjalan tetapi berlari dan bermain bola.” katanya.
Semua kultur kulit Haziq dijalankan di makmal ‘bilik bersih’ bertaraf cGMP di Makmal Cell Tissue Technology, PPUKM.
Dr. Khairul berkata, kes Haziq memerlukan kerjasama daripada pelbagai bidang perubatan daripada pakar kultur tisu, bedah, bius, motivasi, kejuruteraan tisu, psikitris dan pakar transplant.
Selepas dua bulan di hospital, Haziq kembali ke rumahnya dan mencuci luka di klinik kesihatan berhampiran rumahnya dan sebulan sekali perlu ke PPUKM untuk rawatan susulan.
“Buat masa ini pihak kami telah menjalankan ujian klinikal terhadap 10 orang pesakit dan semuanya berjaya. Istimewanya Haziq ialah pesakit kami paling muda,’ katanya.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut tentang Cell Tissue Technology dan rawatan MyDermTM boleh melawat laman web www.celltissue.com.my atau e-mel ke e-mail@celltissue.com.my.
Sumber : www.utusan.com.my
Risiko Obesiti semasa hamil
SOALAN: Apakah risikonya saiz badan yang semakin membesar semasa hamil? Apakah risikonya kepada ibu dan bayi? Bolehkah risiko tersebut diubah?
*Kamila, Johor.
Jawapan
Kebanyakan wanita bersaiz besar boleh menjalani kehamilan yang sihat. Berat badan anda mungkin tidak mempunyai kesan terhadap kehamilan ataupun kelahiran bayi. Tetapi ada beberapa komplikasi yang boleh memberi kesan pada kehamilan dan berat badan yang berlebihan boleh meletakkan anda dalam risiko yang lebih tinggi untuk mengalaminya. Anda mungkin tidak akan mengalami komplikasi tersebut, tetapi lebih baik jika anda tahu perkara itu supaya boleh berhati-hati.
Risiko
Para doktor dan pengkaji masih tidak tahu dengan tepat apakah kaitan berat badan dengan komplikasi-komplikasi berikut. Terdapat beberapa faktor lain seperti umur, sejarah genetik, tahap penolakan insulin, gaya hidup dan latar belakang etnik seseorang wanita itu. Komplikasi kehamilan biasa yang dikaitkan dengan berat badan berlebihan atau obes termasuk kencing manis, darah tinggi yang diakibatkan oleh kehamilan, pra-eklampsia, pelahiran pramatang dan bayi besar (makrosomia).
Apabila tiba masa untuk bersalin, BMI yang tinggi boleh menyebabkan anda berkemungkinan untuk mengalami kelahiran dibantu (forseps atau vakum), pembedahan caesarean dan distosia bahu (bahu bayi tersangkut pada tulang punggung ibu semasa dilahirkan). Para penyelidik juga telah mengaitkan obesiti dengan pertambahan risiko melahirkan bayi dengan kecacatan tiub neural dan masalah-masalah lain termasuk kecacatan jantung dan kecacatan pada dinding abdomen. Pun begitu, risiko mengalami masalah-masalah ini sangat kecil.
Kebanyakan masalah dan situasi kesihatan tersebut boleh diuruskan, dan dalam kes-kes tertentu boleh dielakkan. Anda mungkin tidak mengalami sebarang masalah dan boleh menjalani kehamilan yang sihat dan bersalin tanpa sebarang masalah. Kebanyakan wanita bersaiz besar menjalani kehamilan dan melahirkan bayi secara normal.
Idealnya ialah anda patut cuba mengurangkan berat badan sebelum hamil. Tetapi jika anda sudah pun hamil semasa membaca artikel ini, anda masih boleh membantu diri dan bayi anda.
Cara yang terbaik untuk mengurangkan risiko adalah dengan mengamalkan diet yang sihat, kerap bersenam dan mengikuti panduan penambahan berat badan.
Berdiet
Berdiet untuk menguruskan badan semasa hamil bukanlah idea yang baik. Malah, kajian menunjukkan terdapatnya kaitan antara berdiet semasa tiga bulan pertama kehamilan dengan bayi yang dilahirkan dengan kecacatan tiub neural, tidak kira bagaimana saiz si ibu. Perkara terbaik yang boleh anda lakukan untuk diri anda dan bayi adalah dengan mengikuti diet yang sihat dan seimbang, dan mengelakkan makanan yang kaya dengan lemak dan gula.
Senaman yang kerap semasa hamil adalah cara yang baik untuk membantu badan anda menghadapi kehamilan dan bersiap sedia untuk kelahiran. Ia merupakan salah satu cara yang paling efektif untuk menurunkan berat badan terutamanya apabila digabungkan dengan diet yang sihat dan boleh mengurangkan risiko melahirkan bayi yang besar.
Tetapi jika anda tidak biasa bersenam sebelum anda hamil, ini bukan masa yang terbaik untuk memulakan satu rejim senaman yang berat. Asalkan anda mendapat kebenaran doktor, anda boleh melakukan senaman ringan dan sederhana. Lakukan aktiviti-aktiviti berimpak rendah seperti berjalan atau berenang. Sesi senaman haruslah pendek dan anda perlu kekalkan hidrasi badan dengan meminum banyak air.
Penting juga bagi anda berbincang dengan doktor tentang faktor risiko individu anda. Adakah anda mempunyai sejarah tekanan darah tinggi atau kencing manis?
Adakah dalam sejarah keluarga anda mempunyai bayi yang besar? Apabila anda tahu faktor-faktor risiko peribadi ini, anda boleh bekerjasama dengan doktor untuk mendapatkan peluang terbaik melahirkan bayi yang sihat.
Sumber : www.utusan.com.my
Flos gigi, kumur mulut anda
Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
DR. Neoh Leong Seng menunjukkan cara memberus gigi dengan betul.
SAKIT gigi yang biasa terjadi dalam kalangan masyarakat hari ini adalah disebabkan gigi berlubang dan masalah tersebut selalunya dikesan berpunca daripada kurangnya menjaga kebersihan gigi.
Apabila berbicara mengenai kebersihan gigi, masyarakat berpendapat dengan memberus dua kali sehari setiap hari, ia dapat menghindari daripada mengalami sakit gigi.
Sebenarnya, dalam konteks ini apa yang perlu difahami ialah kebersihan gigi tidak tertakluk kepada memberus gigi sahaja kerana selain memberus kebersihan gigi turut melibatkan memflos dan berkumur.
Lazimnya, masyarakat hari ini tidak mempraktikkan dua lagi kaedah dalam penjagaan gigi iaitu memflos dan berkumur kerana mereka berpendapat dengan memberus gigi segala kekotoran serta sisa-sisa makanan dapat dibersihkan segali gus.
Dalam hal ini, doktor gigi dan wakil Persatuan Pergigian Malaysia(MDA), Dr. Neoh Leong Seng bersetuju malah berpendapat, masyarakat hari ini bukan sahaja tidak didedahkan dengan cara lain dalam penjagaan gigi malah mereka turut dilihat kurang diberi pendedahan mengenai penjagaan gigi dengan cara yang betul.
Menurut beliau, walaupun mempraktikkan memberus gigi dua kali sehari setiap hari, ini tidak bermakna individu tersebut tidak berisiko untuk mengalami sakit gigi kerana cara memberus juga memainkan peranan penting dalam penjagaan gigi.
"Masyarakat hari ini beranggapan dengan memberus gigi sudah memadai untuk mengelakkan mereka daripada mengalami sakit gigi tetapi sebenarnya salah.
"Ini kerana walaupun kita memberus gigi dua kali sehari, cara memberus turut memainkan peranan penting kerana salah berus, gigi akan mengalami pelbagai masalah oral yang lain.
"Oleh yang demikian, belajar cara memberus gigi dengan betul dan cara betul memberus gigi ialah jangan gopoh, pegang berus dan memberus dengan cara yang betul dan jangan berus gigi kurang daripada 10 saat,” ujarnya yang ditemui di kliniknya di 65A, Tingkat 1, Jalan Lazat 1, Happy Garden, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengulas lanjut permasalahan tersebut, Dr. Leong Seng berkata, hari ini dengan pelbagai jenis makanan dan minuman yang dinikmati, memberus sahaja tidak mencukupi kerana setiap hari sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut akan bertambah dan seterusnya akan mengakibatkan plak yang menyebabkan gigi berlubang dan reput.
Oleh yang demikian, Dr. Leong Seng menyarakan selain daripada memberus, setiap individu juga harus memflos gigi setiap hari dan ia memadai sekali sahaja.
Proses ini penting kerana dengan memflos ia akan menanggalkan plak dan sisa makanan di kawasan yang tidak dicapai berus gigi dan sekiranya ia diamalkan setiap kali selepas memberus gigi, gusi dan gigi akan menjadi lebih sihat.
Selain itu, berkumur juga merupakan rutin yang perlu selalu dipraktikkan.
Ini kerana, tutur Dr. Leong Seng, berkumur adalah sama penting seperti memberus dan memflos dan ia adalah untuk mencapai kawasan yang sukar dicapai oleh flos ataupun berus gigi yang paling kecil.
"Adalah amat penting mulut dijaga bersih dengan memberus, flos, dan berkumur kerana plak adalah punca masalah utama mulut seperti bau busuk, pereputan gigi dan penyakit gusi.
"Selain memberus gigi dengan teknik yang betul, berkumur mulut adalah cara termudah untuk memastikan plak disingkirkan setiap hari terutamanya selepas makan kerana sisa makanan akan mendap di celah gigi,” ulasnya lanjut.
Dr. Leong Seng turut menasihatkan orang ramai di mana sekiranya mereka mahukan gigi kekal lama, berhati-hatilah dengan teknik memberus yang digunakan dan mulalah memflos dan berkumur untuk memastikan gigi dan gusi sentiasa sihat.
"Selain memberus, flos, dan berkumur, anda nasihatkan menjalani pemeriksaan rutin setiap enam bulan dengan pakar pergigian.
"Pada masa yang sama, janganlah menunggu sehingga anda sakit gigi baru berjumpa dengan doktor gigi kerana tiada salahnya sekiranya mengunjungi klinik gigi untuk mendapatkan rawatan serta penjagaan awal.
"Anda juga dinasihatkan agar menjaga pemakanan, elakkan makanan serta minuman yang manis serta minuman berkabonat kerana semua ini boleh merosakkan gigi anda,” katanya sebelum mengakhiri bicara.
Sumber : www.utusan.com.my
Teknik baharupembedahan saraf
Otak adalah bahagian paling penting dalam anatomi manusia untuk menjamin kualiti hidup yang optimum kerana ia adalah salah satu organ paling kompleks yang boleh diibaratkan sebagai takhta kepintaran, penterjemah pancaindera, pemacu pergerakan badan, dan pengawal tingkah laku. Apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini yang membabitkan rawatan saraf, bahagian otak yang perlu diberi penjagaan paling rapi, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan prosedur invasif atau pembedahan.
Meskipun pakar bedah saraf di Malaysia paling kerap merawat pesakit yang mendapat kecederaan dalam kemalangan dan ketumbuhan otak, tetapi sebenarnya lebih ramai dialami pesakit warga emas.
Terdapat banyak penyakit kompleks lain yang memerlukan sentuhan kemahiran pakar bedah dan lebih penting lagi, keprihatinan doktor untuk menenangkan dan mengurangkan kebimbangan serta ketakutan pesakit.
Pembedahan otak boleh menimbulkan ketakutan namun kemahiran pakar perubatan profesional boleh memberi kelegaan dan sinar harapan baharu kepada pesakit yang menghidap pelbagai penyakit atau mengalami pelbagai masalah perubatan.
Pakar Perunding Bedah Saraf Pusat Perubatan Sunway, Dr. Syed Abdullah Al-Haddad berkata, pembedahan saraf membabitkan penjagaan pakar perubatan yang khusus terhadap pesakit dan perlu meluangkan lebih masa untuk mendiagnosis masalah dengan tepat dan turut membabitkan penggunaan teknologi terkini.
"Antara teknik canggih yang digunakan termasuklah kraniotomi otak sedar (awake brain craniotomy) dan rangsangan otak dalam (deep brain stimulations).
"Dalam pembedahan kraniotomi sedar, pesakit boleh berinteraksi dengan doktor semasa prosedur. Interaksi ini adalah cara paling boleh dipercayai untuk memastikan doktor tidak merosakkan tisu otak keliling yang sihat sambil mencapai silang alik kasar (gross resection) tumor.
"Doktor akan meminta pesakit menjawab soalan dan melakukan tugas mudah untuk memastikan fungsi motor dan pertuturan mereka tidak rosak,” katanya dalam sesi perkongsian bersama media tentang teknologi semasa pembedahan saraf di Pusat Perubatan Sunway baru-baru ini.
Katanya, oleh sebab tiada serat kesakitan dalam otak, kawalan kesakitan bukan isu utama tetapi ubat antiresah digunakan untuk menenangkan pesakit yang boleh mendengar bunyi penggerudian dan merasai sesuatu yang luar biasa.
Ujarnya, kraniotomi sedar adalah teknik yang paling sesuai digunakan untuk pembedahan membuang tumor yang berada berdekatan dengan bahagian kemahiran bahasa otak iaitu pusat pertuturan dan pusat motor.
"Selain pakar bedah saraf, pasukan lain yang terlibat dalam prosedur kraniotomi sedar adalah perunding terapi percakapan dan ahli fisioterapi kerana keseluruhan prosedur membabitkan interaksi antara pesakit bersama pasukan di dalam bilik bedah
"Prosedur ini menawarkan hasil yang lebih baik tanpa merosakkan tisu-tisu penting di dalam otak. Apa yang lebih penting adalah risiko pembedahan tidak berjaya adalah kecil dan pesakit tidak perlu merasa takut atau bimbang apabila memikirkan pembedahan,” katanya.
Sementara itu, pakar dalam bidang yang sama, Dr. Lee Foo Chiang berkongsi tentang teknologi rangsangan otak dalam (DBS) yang membantu memulihkan gejala neurologi yang melemahkan keupayaan seperti penyakit Parkinson dan Distonia.
"Mereka yang menghidap Parkinson akan mengalami keadaan seperti menggeletar, kaki dan tangan kejang serta kaku, pergerakan perlahan, dan masalah untuk berjalan.
"DBS menggunakan alat perubatan yang menggunakan kuasa bateri yang dimasukkan ke bahagian sebelah dada menerusi pembedahan iaitu implan penjana denyut (IPG) yang seakan-akan perentak otak untuk menghantar rangsangan elektrik ke bahagian tertentu dalam otak.
"Rangsangan elektrik ini dihantar ke bahagian tertentu dalam otak yang mengawal pergerakan, dengan demikian menyekat isyarat saraf tidak normal yang menyebabkan gejala Parkinson,” ujarnya.
Sungguhpun begitu, sesetengah pesakit masih perlu mengambil ubat selepas menjalani DBS namun mereka boleh mengurangkan pengambilan ubat mereka.
Katanya, tahap pengurangan adalah berbeza bergantung kepada keadaan pesakit.
Menurut Dr. Lee, rangsangan daripada IPG juga boleh dilaraskan dengan mudah tanpa pembedahan selanjutnya untuk disesuaikan dengan keadaan pesakit kerana DBS menukar corak pencetusan otak tetapi tidak memperlahankan kemerosotan saraf.
Kecenderungan untuk menawarkan DBS kepada pesakit Parkinson yang berusia lebih muda sebelum berlakunya demensia yang akan memburukkan lagi keadaan pesakit boleh memberi kesan perlindungan saraf yang maksimum.
Dalam keadaan tertentu, timbang rasa dan kesabaran doktor memainkan peranan lebih penting dalam menentukan rawatan saraf pesakit.
Pesakit hendaklah dimaklumkan tentang prosedur, pemulihan serta penglibatan keluarga dan penjaga sepanjang proses rawatan.
Pendidikan pesakit perlu dititikberatkan untuk membantu menguruskan aspek psikologi apabila menjalani pembedahan otak. Apabila pesakit sudah bersedia dari segi psikologi dan fizikal, risiko komplikasi selepas pembedahan adalah rendah, membolehkan mereka pulih dengan cepat.
- NURSYAMIMI SAIDI
Sumber : www.utusan.com.my
Hidup selesa tanpa GERD
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
ADAKAH anda sering merasa pedih hulu hati atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong?
Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap walaupun belum menikmati makanan.
Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini, anda mungkin mengalami simptom penyakit refluks gastroesofageal (GERD).
GERD adalah keadaan yang terjadi apabila refluks atau jeluak kandungan gastrik menyebabkan simptom atau komplikasi yang mendatangkan masalah.
GERD boleh menyerang sesiapa saja termasuk orang muda di peringkat paling produktif dalam hidup mereka. Penyakit ini boleh mendatangkan kesan kepada mutu kehidupan seseorang serta prestasi kerja mereka.
Di Malaysia, dianggarkan 50 peratus daripada jumlah penduduk dewasa mengidap sekurang-kurangnya satu masalah gastrousus. Kesilapan atau kegagalan mendiagnosis GERD boleh menyebabkan rawatan yang salah dan tidak berkesan.
GERD merupakan gangguan penyakit pencernaan kronik yang berlaku apabila asid di dalam perut atau kadangkala, kandungan perut, mengalir semula ke dalam saluran esofagus (laluan di antara mulut dan perut).
Keadaan ini secara lazimnya dikenal pasti melalui rasa pedih ulu hati yang kerap dan berterusan dan regurgitasi asid. Pendedahan esofagus secara berterusan kepada kandungan perut akan mengakibatkan luka pada lapisan dinding esofagus. Keadaan ini dikenali sebagai radang esofagus yang erosif.
Pada 2004, kadar kelaziman GERD di Malaysia ialah 38.8 peratus manakala kadar kelaziman radang esofagus yang erosif telah meningkat daripada dua peratus kepada 8.4 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Ini selaras dengan kadar kelaziman di beberapa negara Asia yang turut menunjukkan trend penyakit GERD yang semakin meningkat. Pun begitu, penyakit ini masih kurang didiagnos dan kurang dirawat oleh sebab tahap keseriusan simptom-simptom penyakit ini biasanya tidak dikenal pasti.
Bergantung kepada tahap keseriusan GERD, pakar-pakar kesihatan boleh memperkenalkan PPI sebagai sejenis rawatan jangka panjang apabila terapi asas seperti ubat-ubatan di kaunter (OTC) tidak memadai untuk merawat GERD. PPI bertindak dengan mengurangkan rembesan asid selain mematikan pam asid di dalam perut.
Menurut Ketua Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Goh Khean Lee, Kajian GERD di Asia Pasifik (GAPS) menunjukkan 94 peratus daripada bilangan pesakit masih mengalami simptom GERD dan 62 peratus daripada jumlah tersebut mengalaminya pada waktu malam.
''Ini berlaku walaupun mereka telah menerima PPI yang diangggap sebagai rawatan utama GERD. Terdapat juga 66 peratus daripada pesakit yang mengalami ketidak selesaan pada waktu malam disebabkan simptom pedih ulu hati dan ini mengakibatkan gangguan semasa tidur.
''Justeru, 56 peratus daripada pesakit terpaksa menggunakan pelbagai jenis rawatan tambahan untuk mengawal keadaan mereka,” kata Dr. Khean Lee yang juga merupakan penulis utama kajian ini yang telah diterima untuk penerbitan di dalam Jurnal Gastroenterogi dan Hepatologi.
Walaupun menjalani rawatan PPI, GAPS telah mendedahkan bahawa hampir separuh daripada pesakit yang dikaji (48 peratus) merasakan simptom GERD telah mengganggu kehidupan mereka.
Hanya 24 peratus daripada pesakit dapat mengawal kesakitan dan ketidakselesaan yang dialami. Kajian itu juga menunjukkan bahawa hampir 60 peratus daripada pesakit mahukan kawalan simptom penyakit sehingga 24 jam untuk memberi kelegaan pada waktu malam dan 44 peratus pesakit memilih untuk mengambil PPI pada bila-bila masa.
“Ramai pesakit GERD di Asia melaporkan tekanan dan produktiviti kerja yang merosot akibat simptom-simptom mereka, dan ini menunjukkan impak GERD terhadap kualiti kehidupan pesakit. Oleh itu, satu ejen yang memberikan tindakan rawatan untuk jangka masa yang lebih panjang dengan risiko minimum untuk simptom kembali, terutamanya sekali pada waktu malam, harus disediakan bagi menangani batasan rawatan yang sedia ada,'' jelas beliau pada majlis pelancaran rawatan oral sekali sehari untuk mengawal penyakit radang esofagus yang erosif iaitu Dexilant (dexlansoprazole) oleh Takeda Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini.
Dalam pada itu, Profesor Emeritus Perubatan, Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi, Pusat Sains Kesihatan Universiti Virginia, Profesor David A. Peura memberitahu, sebagai satu jenis PPI dengan formulasi DDR, setiap kapsul Dexilant mengandungi dua jenis granul bersalut enterik.
Granul-granul ini mempunyai profil pelarutan berbeza yang bergantung kepada nilai pH, yang direka untuk melepaskan ubat di lokasi-lokasi yang berbeza di dalam saluran gastrousus.
Kajian klinikal telah menunjukkan Dexilant 30 miligram (mg) berkesan ke atas 75 peratus pesakit radang esofagus yang erosif yang kekal sembuh selepas lebih enam bulan manakala Dexilant 60mg telah terbukti berkesan dalam menyembuhkan semua gred penyakit radang esofagus yang erosif sehingga lapan minggu. Di samping itu, pesakit yang menggunakan Dexilant 30mg kekal bebas daripada pedih ulu hati untuk 96 peratus daripada tempoh masa 24 jam.
Dexilant 30mg juga menunjukkan keberkesanan yang ketara berbanding dengan plasebo dalam mengawal pedih ulu hati untuk lebih daripada 24 jam bagi pesakit yang menghidap penyakit refluks gastroesofagus tidak erosif (non-erosive gastroesophageal reflux disease; NERD) kerana lebih ramai pesakit ini mengalami kelegaan sepenuhnya daripada pedih ulu hati selama 24 jam untuk tempoh empat minggu.
Sumber : www.utusan.com.my
Implan dwi-stent untuk jantung
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
SITI, dalam usia 50-an, sentiasa sibuk dengan tugas beliau sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggakan tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.
Pada suatu pagi, sewaktu beliau hendak ke pejabat, Siti mengalami rasa sakit dada yang amat sangat dan akhirnya dia terus tidak sedarkan diri.
Apabila pulih dan sedar semula, Siti mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?
“Siti, anda telah mengalami serangan jantung dan disahkan menghidap penyakit jantung koronori (CAD). Kami mendapati saluran darah jantung anda menjadi sempit. Anda perlu rawatan segera untuk mengelak komplikasi yang lebih teruk,” terang doktor.
Arteri Siti, iaitu saluran darah yang membawa darah mengandungi oksigen keluar dari jantung untuk mengalir ke seluruh badan menjadi sempit disebabkan pembentukan plak pada bahagian dalam dinding arteri.
Halangan ini menyebabkan kekurangan pengaliran darah yang membawa oksigen ke jantung, mengakibatkan sakit dada, degupan jantung tidak tetap (arrhythmias), serangan jantung dan mungkin maut.
Untuk merawat CAD, stent membebaskan ubat (perancah) dimasukkan ke dalam saluran darah.
“Implan ini direka khas bagi membantu melebarkan saluran darah untuk pengaliran darah yang lebih lancar ke jantung,” jelas Profesor Madya Jabatan Kardiologi, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Sazzli Kasim.
Bercerita lanjut tentang statistik terkini penyakit jantung,
Punca penyakit
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan penyakit jantung menyumbang sebanyak 16.09 peratus daripada jumlah kadar kematian di hospital-hospital di Malaysia.
Penyakit jantung yang paling lazim berlaku ialah penyakit jantung koronari (CHD). Ini berlaku apabila lebihan lemak yang dipanggil plak bergumpal pada dinding arteri lalu menyebabkan saluran tersebut semakin menyempit. Apabila ia berlaku, jantung tidak mendapat darah dan oksigen yang mencukupi lalu berlakunya episod CHD.
Memandangkan setiap pesakit mempunyai lokasi dan tahap stenosis koronari (penyempitan koronari) serta keadaan fizikal yang berbeza, doktor akan menilai risiko bagi setiap pesakit sebelum mengesyorkan jenis rawatan yang sewajarnya. PCI ialah sejenis rawatan pembesaran penyempitan arteri koronari yang dijalankan tanpa memerlukan pembedahan. Prosedur tersebut biasanya disyorkan oleh doktor apabila 70 peratus arteri pesakit mengecil atau tersumbat.
Tambah dr. Sazzli, kebanyakan penyakit jantung berpunca daripada gaya hidup tidak sihat contohnya, sebelum seseorang berkahwin, dia minat bersukan tetapi selepas berkahwin, mereka tidak lagi aktif bersukan. Tambahan pula, pemakanan sering terabai di samping tabiat merokok yang masih berterusan. Faktor-faktor inilah yang boleh menyebabkan saluran jantung tersumbat.
Pencegahan
Walaupun penyakit ada penawarnya, Dr. Sazzli tetap menekankan tentang amalan gaya hidup sihat.
“Saya selalu menasihatkan pesakit saya supaya berhenti merokok. Bagi pesakit yang mungkin mengalami sakit jantung kronik, mereka mungkin melakukannya. Masalah akan timbul apabila golongan muda khususnya 35 tahun ke bawah, tidak mahu berwaspada. Saya sendiri pernah berhadapan dengan pesakit muda yang berumur 23 tahun,” jelasnya.
Oleh itu, kesedaran awal sangat penting dalam kalangan masyarakat untuk menjaga pemakanan selain bersenam atau melakukan aktiviti mengeluarkan peluh, tidak merokok atau menghisap shisha.
Tambah Dr. Sazzli, gaya hidup sihat sangat penting untuk mengurangkan kes kematian akibat serangan jantung yang tidak sempat dihantar atau mendapatkan rawatan di hospital.
Jenis-jenis stent
Ketika ini terdapat beberapa stent di Malaysia. Jenis-jenis stent utama yang digunakan ialah Bare Metal Stent (BMS), Drug-eluting Stent (DES), Bio-engineered Stent (BES) dan Dual Therapy Stent (DTS).
DTS merupakan stent teknologi baharu dibangunkan oleh OrbusNeich yang kini boleh didapati di Malaysia serta pasaran terpilih di Asia Pasifik, Asia Barat dan Eropah selepas syarikat tersebut menerima CE Mark. Stent Combo Dual Therapy menangani kelewatan penyembuhan arteri koronari berkaitan dengan DES, yang merupakan penjagaan standard kini untuk merawat penyakit arteri koronari.
Ia merupakan stent yang pertama bagi melaksanakan dua fungsi iaitu mempercepatkan liputan endothelial dan kawalan terhadap perkembangan neo-intimal melalui gabungan teknologi propenyembuhan dengan elusi abluminal sirolimus dihantar dari polimer terbiodegradasi yang mencapai pelesapan sepenuhnya dalam masa 90 hari.
DTS yang pertama di dunia itu menggabungkan dua stent yang sudah diakui dan terbukti teknologinya iaitu DES dan BES. DES merupakan stent logam yang secara perlahan-lahan membebaskan ubat ke dalam dinding saluran darah tempat ia diimplan bagi menghalang hiperplasia (peningkatan bilangan sel atau pertumbuhan pesat sel) yang mengurangkan risiko restenosis (penyempitan semula dinding arteri).
BES pula disalut dengan antibodi untuk mempercepatkan pemulihan semula jadi permukaan sten dengan membentuk endotelium (lapisan sel epitelium yang melapik jantung, saluran darah, limfa dan dinding rerambut) baharu.
Menurut Dr. Sazzli, dwi-stent ini merupakan satu perkembangan baik kerana stent ini bersalut dengan ubat.
“Dalam selaput itu pula terdapat antibodi. Ini bermakna stent ini mempunyai dua fungsi iaitu sentiasa memastikan saluran darah membesar dan membaik pulih dengan cepat. Dalam pada itu, stent baharu tersebut boleh mengurangkan kedua-dua risiko restenosis dan trombosis (pembentukan darah beku)
dengan ketara.
Sumber : www.utusan.com.my
Peria bersihkan darah
Sebut sahaja peria , pastinya ramai yang membayangkan kepahitannya. Bak kata orang tua yang pahit itulah ubat. Peria atau nama saintifiknya Momordica charantia diakui sejak zaman dahulu lagi akan khasiatnya dalam perubatan tradisional berasaskan herba.
Terdapat dua jenis peria iaitu peria biasa yang berbentuk panjang dan juga peria 'katak' yang bersaiz lebih kecil.
Kebiasaannya, pokok peria ini mudah didapati di negara-negara beriklim tropika yang panas dan khatulistiwa seperti di negara kita, Indonesia, Sri Lanka, India dan Filipina.
Sayur peria amat diminati oleh masyarakat Cina. Walaupun pahit tetapi mempunyai banyak khasiat.
Bagi mengurangkan rasa pahit, peria direndam dalam air garam terlebih dahulu sebelum dimasak.
Habitat pokoknya memanjat menggunakan sulur paut manakala daunnya bersaiz sederhana mengandungi lima cuping dan berbau langu.
Bunganya berwarna kuning sementara buahnya pula ada yang berbentuk panjang dan bujur, bergantung kepada benih dan jenisnya, namun yang pasti peria mempunyai kulit yang berkedut-kedut.
Berdasarkan kajian, setiap 100 gram peria mengandungi 0.8 gram protein untuk membina tisu badan, 2.9 gram karbohidrat untuk tenaga, 0.9 gram fiber untuk penghadaman dan 56 miligram kalsium untuk menguatkan gigi dan tulang.
Lain-lain kandungan peria ialah lemak dan mineral. Peria juga boleh mencuci darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan gatal-gatal. Caranya ialah dengan meminum segelas perahan buahnya yang dicampur dengan perahan limau nipis. Lakukan amalan ini selama tiga hingga empat bulan.
Ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah gout, lelah, darah tinggi dan kencing manis. Bagi mereka yang mengalami masalah ketagihan alkohol, anda boleh cuba meminum perahan daunnya.
Perahan yang sama juga boleh digunakan untuk mengubati buasir. Caranya ialah mencampurkan perahan air daun peria dengan segelas susu dan amalkan selama sebulan; manakala akarnya dilumatkan dan airnya disapukan pada bahagian buasir.
Walaupun pahit, peria mengandungi tonik yang bertindak sebagai julap dan membuka selera makan. Selain itu, ia juga boleh dijadikan ulam oleh wanita yang baru bersalin untuk menambah susu badan.
Sumber : www.utusan.com.my
Elak payudara membengkak
Soalan:
Apa yang patut saya lakukan jika puting payudara saya leper atau tenggelam? Jadi bayi tidak mahu menyusu. Akibatnya payudara saya membengkak, keras dan menyakitkan. Terdapat juga ketulan kecil, keras dan menyakitkan pada payudara. Apakah punca perkara ini berlaku?
Selain itu, bolehkah saya kembali menyusukan bayi selepas berhenti berbuat demikian untuk satu tempoh tertentu dan memberinya minum susu formula?
- Jasmin, Machang, Kelantan.
Jawapan:
Bermula daripada penyusuan kali pertama, galakkan bayi untuk memasukkan sebahagian besar mulutnya ke dalam payudara anda. Tarik keluar puting anda sebelum mula menyusukan bayi dengan merangsangnya, menarik areola atau menggunakan pengepam payudara.
Payudara bengkak memang perkara yang biasa berlaku dua hingga empat hari selepas bersalin. Ini menandakan susu tidak mengalir keluar dengan betul. Bagi mengatasi masalah ini, susukan bayi secara kerap dan gunakan jaram panas atau suam ke atas payudara anda. Jika payudara masih berasa keras, perah sedikit susu sebelum dan selepas menyusukan bayi. Namun, usah bazirkan susu ini. Anda boleh menyimpannya untuk diberikan kepada bayi dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Puting payudara rasa pedih mungkin disebabkan oleh posisi penyusuan yang tidak betul, jangkitan kulat kandida, penggunaan pengepam payudara secara tidak betul dan sebagainya. Untuk mendapat kepastian, bertanyalah kepada doktor atau dapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan laktasi di hospital yang berdekatan. Pada penyusuan yang berikutnya, pastikan posisi yang betul dan pastikan bayi menghisap puting dan areola dengan betul. Mulakan penyusuan pada puting yang kurang rasa pedih. Pakai pakaian yang longgar untuk memberi ruang kepada puting terdedah kepada udara dan melegakan rasa pedih.
Tukar pelapik coli secara kerap dan gunakan pelindung puting untuk mengelak puting daripada bergesel dengan pakaian. Oleh kerana puting anda terlalu sensitif pada waktu ini, elakkan daripada menggunakan sabun, krim atau losyen ke atas puting. Sebaliknya, sapukan sedikit perahan susu ke atas puting untuk membantu menyembuhkannya.
Ketulan kecil pada payudara adalah disebabkan salah satu salur susu anda tersumbat. Apa yang boleh anda lakukan ialah mengurut secara perlahan-lahan ketulan tersebut ke bawah mengarah ke puting sebelum dan ketika penyusuan. Letakkan tuala lembap, hangat ke kawasan tersebut sebelum menyusukan bayi. Jika anda memerah susu, elakkan daripada menekan tisu-tisu payudara terlalu kuat. Juga pastikan anda tidak memakai coli yang terlalu ketat.
Usah risau kerana ketumpahan susu antara waktu menyusu menandakan anda mempunyai bekalan susu yang baik. Yang lebih baiknya, ketumpahan susu dapat mengelakkan bengkak payu dara. Ya, anda boleh. Sekerap yang boleh, berikan bayi peluang untuk menghisap payu dara untuk merangsang penghasilan susu. Lakukannya dengan sabar selama beberapa hari dan anda akan dapati payudara anda akan mula menghasilkan susu. Doktor anda juga boleh memberi beberapa preskripsi ubat dan mencadangkan makanan untuk merangsang penghasilan susu.
Sumber : www.utusan.com.my
Elak penyakit akibat jerebu
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
TAHUKAH anda pencemaran udara yang melanda bumi boleh
mendatangkan kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kesihatan manusia?
Lebih memburukkan keadaan, masalah jerebu boleh menyebabkan penyakit seperti serangan asma, gangguan mata dan jangkitan saluran pernafasan (URTI).
Apa itu jerebu?
n Jerebu ialah keadaan kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.
n Ia disebabkan oleh campuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi dan dilepaskan merata-rata serta menyerap sinaran matahari di atmosfera.
Bahaya
Apakah kemungkinan kesan jerebu ke atas kesihatan?
* Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap teruk status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan.
* Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan.
* Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;
* Kesukaran untuk bernafas
* Serangan jantung.
* Gatal-gatal pada tekak.
* Gatal-gatal pada mata.
* Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
* Gatal-gatal pada kulit.
Langkah penjagaan
* Penutup hidung (nasal mask) mesti digunakan jika indeks pencemar udara (IPU) melebihi 200.
* Bagaimanapun bagi mereka yang berisiko tinggi seperti pesakit lelah, jantung dan paru-paru serta warga emas dan kanak-kanak, adalah dinasihat memakai penutup hidung walaupun IPU lebih rendah daripada itu.
* Orang ramai juga dinasihatkan minum air yang banyak, basuh bahagian tubuh terdedah kepada jerebu dan kurangkan aktiviti di luar rumah.
* Perokok dinasihatkan tidak merokok apabila keadaan udara berada pada tahap tidak sihat iaitu IPU melebihi 100.
Sumber : www.utusan.com.my
Jangan abai tanda awal diabetes
Selama enam tahun, Hana sering pergi ke taman setiap hari bersama ayahnya sehinggalah lebih kurang sebulan yang lalu apabila ayahnya, Razak Ismail, seorang penghidap diabetes berusia 45 tahun, kehilangan sebelah kakinya akibat dipotong.
Ayahnya telah didiagnosis dengan diabetes 15 tahun yang lalu dan mengalami kerosakan saraf akibat diabetes dengan simptom seperti rasa kebas dan rasa berdenyut-denyut pada kakinya. Tahukah anda bahawa hampir 70 peratus penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf yang boleh membawa kepada amputasi sekiranya penjagaan dan langkah pencegahan yang betul tidak diambil? Adakah anda juga mengalami simptom yang sama seperti yang dialami oleh ayah Hana?
Sekiranya anda mengalami sebarang simptom kerosakan saraf yang biasa ini, jangan ketepikannya kerana kesan pengabaian boleh menyebabkan pemotongan kaki.
Memahami neuropati diabetes
Perkataan neuropati terbit daripada dua bahagian: ‘neuro’ yang merujuk kepada saraf dan ‘pati’ iaitu penyakit. Kerosakan saraf yang disebabkan diabetes dipanggil neuropati diabetes. Neuropati periferal ialah satu keadaan yang melibatkan saraf-saraf di luar sistem saraf pusat, terutamanya pada tangan dan kaki.
Saraf ialah talian perhubungan dalam tubuh kita. Isyarat elektrik daripada otak bergerak melalui saraf dan memberi arahan kepada pelbagai bahagian tubuh. Tubuh menerima maklumat daripada persekitaran melalui deria dan menghantar maklumat ini ke otak melalui saraf.
Majoriti daripada saraf periferal bertanggungjawab memberikan sensasi yang anda rasa seperti sentuhan, kesakitan dan suhu. Terdapat jutaan saraf yang berakhir di jari, tangan, jari kaki dan kaki anda yang dicipta untuk mengelakkan anda daripada bahaya dan jauh daripada perkara yang panas, sejuk, tajam dan sebagainya.
Tahap keseriusan simptom kerosakan saraf akibat diabetes berbeza daripada seorang pesakit dengan seorang pesakit yang lain. Anda mungkin berasa berdenyut-denyut atau kebas pada kaki dan tangan anda – tanda biasa kerosakan saraf akibat diabetes. Rasa terbakar dan tiada rasa juga ialah simptom biasa bagi kerosakan saraf. Kehilangan rasa sering membawa maksud anda mungkin tidak merasa kecederaan pada kaki. Mungkin terdapat paku tekan atau batu kecil di dalam kasut anda dan anda terus berjalan sepanjang hari tanpa menyedarinya. Sesetengah orang akan berasa kesakitan yang tajam mencucuk; manakala setengah orang pula merasa seperti dicucuk-cucuk dengan jarum.
Kemungkinan seorang penghidap diabetes untuk mengalami pemotongan pada kaki adalah lebih besar berbanding dengan individu lain yang sihat. Ramai penghidap diabetes mengalami kerosakan saraf akibat diabetes yang mengurangkan kepekaan rasa pada kaki menyebabkan mereka tidak sedar akan kecederaan yang mereka alami; ini boleh membawa kepada pemborokan (ulser) kaki.
Ramai penghidap diabetes turut menghidap penyakit arterial periferal yang mengurangkan aliran darah ke kaki dan melambatkan proses penyembuhan luka – seterusnya meningkatkan risiko terjadinya jangkitan. Semua masalah ini membuatkan pesakit mudah mendapat jangkitan yang teruk yang membawa kepada amputasi kaki.
Bagaimana kerosakan saraf akibat diabetes dirawat?
Langkah pertama adalah dengan memastikan tahap glukos dalam darah berada pada julat normal untuk membantu mencegah kerosakan saraf selanjutnya. Pemantauan tahap glukos dalam darah, pemakanan yang terancang dan aktiviti fizikal yang teratur serta ubat-ubatan diabetes atau insulin akan membantu mengawal tahap glukos dalam darah. Ia mungkin mengambil sedikit masa tetapi secara umumnya simptom-simptom akan berkurangan apabila terdapat pengawalan glukos yang baik. Pengawalan glukos dalam darah yang baik juga boleh mencegah atau melambatkan permulaan masalah-masalah yang selanjutnya.
Saintis Jepun telah mendapati bahawa saraf yang rosak boleh dihasilkan semula dengan sejenis makanan tambahan yang ringkas dikenali sebagai mecobalamin atau metilkobalamin – satu bentuk vitamin B12 yang aktif.
Mecobalamin – vitamin B12
Mecobalam ini alah satu bentuk Vitamin B12 yang aktif dari segi neurologi. Dengan mecobalamin, hati tidak perlu menukarkan sianokobalamin, bentuk B12 yang tidak aktif, kepada mecobalamin kerana ia telahpun aktif secara oral.
Mecobalamin melindungi daripada penyakit neurologi (saraf) dan penuaan oleh mekanisma unik yang berbeza daripada terapi yang ada sekarang. Sebahagian daripada gangguan saraf yang boleh dicegah atau dirawat dengan terapi vitamin semula jadi ini termasuklah neuropati periferal. Ambil satu kapsul 500mcg tiga kali sehari untuk membantu menggalakkan saraf-saraf sihat dan melindungi daripada proses degenerasi sistem saraf.
Tanyalah ahli farmasi anda hari ini tentang jenama yang dipercayai bagi makanan tambahan untuk kesihatan saraf yang membantu mencegah kerosakan saraf akibat diabetes dan juga menghasilkan semula saraf-saraf periferal anda yang rosak. Diagnosis dan rawatan awal boleh menambah baik kualiti hidup dan mengurangkan risiko komplikasi neuropati diabetes dan amputasi selanjutnya.
Artikel ini disumbangkan oleh Live-well Nutraceuticals, untuk maklumat lanjut, sila rujuk ahli farmasi anda atau hubungi Live-well INFOline: 03-6142 6570 atau e-mail info@livewell2u.com
Sumber : www.utusan.com.my
Rawat sebelum terlambat
Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM
dianna.azaham@utusan.com.my
UJIAN mamogram perlu dilakukan secara berkala bagi wanita berusia 40 tahun ke atas manakala wanita muda pula sesuai dilakukan imbasan ultra bunyi.
MEMANG benar ketulan pada payu dara terutamanya wanita yang masih muda selalunya bukan kanser. Ia mungkin ketumbuhan tidak berbahaya (benign), ketumbuhan bukan kanser, jangkitan kuman ataupun sista.
Kanser merupakan pembunuh wanita utama di Malaysia dan sering menyerang wanita berusia 40 tahun ke atas.
Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (NCR) 2007, statistik menunjukkan kanser payudara merupakan kanser yang paling kerap dalam kalangan wanita selain merupakan nombor satu di Malaysia . Malah sejumlah 3,242 wanita menghidap kanser payudara dilaporkan pada tahun 2007 yang mana wanita berusia 50 hingga 59 tahun paling tinggi menghidapinya.
Walaupun paratusan berlakunya kanser payudara pada wanita muda adalah rendah, tetapi, menurut Pakar Onkologi Klinikal dan Ahli Radioterapi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr. Ahmad Kamal Mohamed, ia lebih agresif jika dihidapi oleh wanita berusia 20-an dan 30-an.
“Jika pesakit berusia lingkungan 20-an dan awal 30-an, selalunya doktor akan lebih agresif dari segi rawatan walaupun tumornya kecil kerana ia lebih berisiko tinggi.
“Jangan pandang ringan dengan ketumbuhan pada payudara kerana jika benar ia kanser dan lambat mendapatkan rawatan, ia mungkin sudah berada pada tahap yang teruk dan boleh membawa maut kerana telah merebak ke organ penting yang lain seperti jantung dan hati,” ujarnya yang turut terlibat dengan kempen Kesedaran Kanser Payudara yang dianjurkan Pusat Perubatan Subang Jaya di Subang Parade, hari ini.
Kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih agresif kerana selalunya mereka mempunyai gen mutasi BRCA1 dan BRCA2. Tambahan, diagnosis kanser payudara dalam kalangan wanita muda lebih sukar kerana tisu payudara mereka secara am lebih padat berbanding wanita yang berusia. Saat ketulan pada payudara wanita muda boleh dirasai, selalunya kanser sudah merebak.
Selain itu, ramai wanita muda yang menghidapi kanser payudara tidak mengendahkan simptom yang dialami seperti ketulan pada payudara dan pengaliran luar biasa menerusi puting kerana merasakan mereka terlalu muda untuk menghidap kanser payudara.
Tegasnya, pemeriksaan sendiri payudara secara berkala amat penting kerana rawatan di peringkat awal mampu menyelamatkan nyawa pesakit namun ramai pesakit yang hanya bertemu doktor apabila kanser tersebut sudah teruk kerana sikap sambil lewa dan kurang prihatin dengan perubahan pada bahagian payudara.
“Bagi penghidap kanser payudara tahap awal, peluang untuk pulih adalah tinggi. Jika lambat dan telah merebak hingga tahap empat, ia mungkin masih boleh dikawal untuk tempoh beberapa tahun tetapi tidak boleh dipulihkan,” terangnya.
Punca
Ujar Dr. Ahmad Kamal, kanser payudara berlaku berikutan perubahan sel kepada sel kanser pada bahagian kelenjar payudara yang menghasilkan susu atau bahagian tiub iaitu yang mengalirkan susu ke puting.
“Sebanyak 95 peratus kanser berlaku pada bahagian tiub yang dipanggil invasive ductal carcinoma dan lima peratus pada bahagian kelenjar yang digelar invasive lobular carcinoma.
“Punca utama masih belum diketahui secara tepat cuma beberapa faktor menambahkan risiko kanser payudara dilihat ada kaitan dengan hormon wanita,” ujarnya.
Berikut merupakan antara faktor meningkatkan risiko berlakunya kanser payudara.
1 Haid yang datang pada usia muda (sebelum 12 tahun).
2 Lewat putus haid (58 tahun ke atas).
3 Tidak pernah melahirkan anak atau melahirkan anak pertama pada usia 30 tahun ke atas.
4 Sejarah keluarga, mempunyai ahli keluarga terdekat yang menghidapi kanser payudara seperti ibu atau adik-beradik perempuan.
5 Mengamalkan pemakanan tinggi lemak.
6 Menghidapi ‘atypical hyperplasia'.
Simptom
* Ketulan atau ketebalan pada bahagian payudara yang dirasakan berbeza dengan bahagian lain.
* Cecair seperti darah keluar daripada puting payudara.
* Perubahan saiz atau bentuk payudara.
* Perubahan pada kulit sekeliling payudara seperti lekuk.
* Puting payudara masuk ke dalam.
* Kulit atau bahagian puting mengelupas atau bersisik.
* Kulit payudara kemerah-merahan atau berlekuk-lekuk seperti kulit buah oren.
Pencegahan
Bilakah kali terakhir anda melakukan sendiri pemeriksaan payudara? Tahukah anda, kebanyakan kes kanser payudara ditemui sewaktu melakukan pemeriksaan sendiri payudara ketika di rumah?
Digalakkan untuk melakukannya setiap bulan di tengah-tengah kitaran haid iaitu kira-kira seminggu hingga dua minggu selepas hari terakhir haid. Waktu terbaik untuk melakukannya ketika sedang mandi kerana sabun akan memudahkan untuk memeriksa payudara.
“Selain itu, cara pencegahan terbaik ialah mengamalkan cara hidup yang sihat dengan tidak merokok, tidak mengambil minuman alkohol, mengurangkan makanan yang berlemak, memperbanyakkan sayur-sayuran, cukup tidur dan bersenam,” ujarnya.
Bagi wanita berusia 40 tahun ke atas, lakukan mamogram sekali sebulan dan bagi wanita lebih muda, imbasan ultra bunyi boleh dilakukan.
Rawatan
Menurut Dr. Ahmad Kamal, apabila menemui ketulan pada payudara, jangan terus berasa resah kerana 70 hingga 80 peratus kes selalunya ia bukanlah kanser contohnya fibroadenoma. Namun, pesakit perlu segera bertemu dengan doktor untuk melakukan beberapa ujian bagi memastikan sama ada ia adalah kanser atau masalah lain.
Pertama, ujian imbasan mamogram dan ultra bunyi dilakukan pada bahagian payudara. Ujarnya, ia boleh menentukan sama ada sel adalah benign atau sel malignant tetapi biopsi perlu dilakukan bagi menentukan jenis sel tersebut.
“Rawatan pertama ialah pembedahan, bergantung pada saiz ketulan. Jika ia kecil, sekitar tiga hingga empat sentimeter, hanya ketulan tersebut serta sedikit tisu disekitarnya akan dibuang yang dipanggil eksisi lebar (wide excision) atau lumpectomy.
“Jika ia besar atau mengambil ruang majoriti saiz payudara, pembedahan membuang payudara iaitu mastektomi akan dilakukan,” terangnya.
Selain pembedahan pada bahagian payudara, pembedahan membuang bahagian kelenjar di ketiak perlu dilakukan yang dipanggil axillary clearence bagi memastikan tiada sel kanser tersebar.
Namun ujar Dr. Ahmad Kamal, ada sesetengah hospital sudah mula menjalankan prosedur baru iaitu biopsi nodus sentinel (sentinel node biopsy) iaitu pewarna akan disuntik ke bahagian kanser dan ia dapat memastikan sama ada kanser sudah merebak atau belum ke bahagian kelenjar ketiak.
Selepas pembedahan, beberapa ujian akan dilakukan iaitu imbasan CT, MRI, imbasan PET CT dan ujian sumsum tulang bagi memastikan ia tidak merebak ke organ lain.
Rawatan kimoterapi berkemungkinan akan diberikan selepas pembedahan jika ada kelenjar limfa terlibat, tumor adalah besar, kanser gred yang tinggi atau ganas atau usia pesakit masih muda.
“Jika pembedahan buang ketulan saja, radioterapi adalah wajib tetapi mastektomi pula bergantung kepada saiz tumor tersebut.
“Penerimaan hormon estrogen dan progesteron turut akan diukur selepas pembedahan dan jika ia tinggi, pesakit perlu menjalani rawatan hormon selepas kimoterapi iaitu bentuk pil yang perlu diambil setiap hari selama lima tahun,” terangnya.
Sumber : www.utusan.com.my
Vitamin C, kolagen untuk kulit
SECARA umumnya, pertambahan usia dan gejala penuaan bukan satu jenis penyakit. Ia harus diterima secara positif.
Bagi membantu mengatasi masalah wanita 40-an, pakar kecantikan menyarankan pengambilan vitamin dan kolagen.
Tidak dapat dinafikan Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling dikenali dan sememangnya layak untuk dihargai kerana fungsinya yang pelbagai kepada kesejahteraan tubuh, termasuklah pemulihan dan pertumbuhan tisu-tisu, mengekalkan kesihatan gusi, menyokong sistem imunisasi dan membantu penyerapan zink.
Ramai yang mengamalkan pengambilan vitamin C setiap hari dalam usaha merendahkan risiko mendapat serangan jangkitan ringan.
Hasil penyelidikan juga mendapati ia berpotensi mengurangkan tempoh demam selesema dengan menguatkan sistem imun badan. Bagi kebanyakan wanita pula, pengambilan vitamin C sebagai amalan harian begitu popular untuk kecantikan kerana ia merangsang kesihatan dan kecantikan kulit melalui penghasilan kolagen.
Menurut Presiden Persatuan Perubatan Estetik Malaysia, Dr. Chin Shih Choon, vitamin C atau asid Ascorbic sangat penting untuk tubuh badan.
“Ia larut air. Vitamin ini bukan sahaja berfungsi sebagai anti oksidan utama tetapi juga satu anti virus kuat selain berfungsi sebagai anti bakteria dan anti kulat.
“Vitamin C juga merupakan agen anti-radang dan anti histamina. Oleh itu, ia sangat berguna melawan alahan dan gangguan radang kronik. Dalam pada itu, vitamin ini membantu sintesis kolagen, pembentukan tulang dan menyahtoksik. Dalam bidang kecantikan, vitamin C popular sebagai agen anti penuaan,” jelasnya yang juga Pengamal Perubatan Estetik, MJ Medical Aesthetic.
Keperluan
Tambah Dr. Shih Choon, peningkatan usia seseorang menyebabkan manusia hilang keupayaan menghasilkan Vitamin C mereka sendiri.
Pun begitu, keperluan vitamin C masih boleh diperoleh daripada makanan seperti buah limau, buah beri merah, tomato, kentang, brokoli, bunga kubis, kubis brussels, merah dan lada loceng hijau, kubis dan bayam.
Mengulas tentang kolagen, Dr. Shih Choon memberitahu, kolagen ialah sejenis protein dan bekerja bersama keratin untuk menghasilkan kulit yang kuat, licin dan anjal.
“Apabila anda muda, anda tidak mempunyai masalah menghasilkan kolagen dalam badan. Sebab itulah, kita lihat kanak-kanak mempunyai rambut berkilat, cantik dan kulit licin. Seperti vitamin C, peningkatan usia menyebabkan badan hilang keupayaan menghasilkan kolagen dan bermulalah episod kulit menjadi kedut, kulit kusam selain timbul garisan wajah,” katanya.
Tambah beliau, kolagen boleh diperoleh daripada produk soya, sayuran hijau gelap, madu manuka, dan avokado. Makanan-makanan ini membantu untuk merangsang pembentukan kolagen dalam badan kita. Sementara itu, terdapat juga sumber iklan daripada laut seperti ikan.
“Serat kolagen berasal daripada protein yang mempunyai tahap asid amino iaitu hydroxylysine dan hidroksiprolina yang tinggi. Asid-asid amino ini penting untuk pembentukan semua jenis kolagen,” katanya yang menyarankan semua golongan tua dan muda mengambil vitamin C dan kolagen.
Sumber : www.utusan.com.my
Sakit permulaan haid
ADA remaja mengalami senggugut yang teruk dan ada juga sakit sederhana. – GAMBAR HIASAN
Soalan
Saya berumur 16 tahun dan setiap kali kedatangan haid, saya mengalami sakit perut yang teruk. Adakah sakit tersebut dianggap senggugut? Bagaimanakah cara untuk mengurangkan kesakitan tersebut?
* Remaja K, Johor.
Jawapan
Senggugut atau dismenorea merujuk kesakitan yang dialami semasa permulaan haid. Wanita mungkin mengalami kesakitan yang lebih teruk semasa dua hari pertama. Terdapat sebahagian gadis yang berumur belasan tahun mengalami senggugut yang teruk manakala ada bernasib baik cuma mengalami kesakitan yang agak sederhana atau sedikit sahaja.
Namun, masalah ini boleh mengganggu persekolahan dan kehidupan seharian remaja jika kesakitan yang dialami itu teruk dan berpanjangan. Penulis menjangkakan masalah yang dialami oleh gadis ini ialah dismenorea primer iaitu senggugut yang sering berlaku kepada wanita yang baharu (dua hingga tiga tahun) mengalami kitaran haid.
Kesakitan yang dirasai ketika datangnya haid disebabkan oleh penguncupan dinding rahim yang amat kuat. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput dinding rahim (selaput endometrium).
Darah ini perlu dikeluarkan melalui saluran pangkal rahim atau serviks. Kebiasaannya, saluran pangkal rahim yang dimiliki oleh seorang gadis remaja masih sempit menyebabkan ketulan darah tersebut agak susah untuk dikeluarkan.
Hakikatnya, semasa seseorang itu didatangi haid, berlaku penguncupan dinding rahim yang begitu kuat disebabkan oleh sejenis hormon yang dikenali sebagai prostaglandin. Hormon ini ialah sejenis kumpulan molekul lipid yang berasal daripada asid lemak dan peranannya sangat penting dalam badan manusia.
Setiap prostaglandin ini mengandungi 20 atom karbon yang menjadi pengantara serta memberikan banyak kesan terhadap psikologi. Tahap kesakitan yang meningkat menunjukkan hormon ini dihasilkan secara berlebihan menyebabkan terjadinya senggugut. Prostaglandin yang berlebihan akan mengakibatkan rasa mual, cirit-birit, muntah serta sakit kepala. Lazimnya, kesakitan akan reda sebaik sahaja dua atau tiga hari kemudiannya.
Faktor lain seperti diet dan suasana persekitaran juga memainkan peranan untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Diet yang berlemak, rendah protein dan rendah serat boleh meninggikan risiko untuk mengalami senggugut.
Dalam beberapa kes tertentu, ubat-ubatan yang mengandungi hormon boleh membantu. Penulis mencadangkan agar remaja ini dapat melakukan senaman, mengamalkan pemakanan yang berkhasiat dan mengurangkan stres atau tekanan ketika berhadapan dengan sebarang masalah. Secara tidak langsung, masalah senggugut yang dialaminya mungkin akan berkurangan.
Sumber : www.utusan.com.my
Lambatkan penuaan
Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ROY AZIS
PENINGKATAN usia merupakan sesuatu yang amat merunsingkan wanita. Tiada siapa yang mahu menjadi dan nampak tua.
Jika boleh, wanita ingin sentiasa nampak cantik, kulit sentiasa tegang, halus dan cerah. Namun putaran alam tidak memungkinkan sesiapa pun untuk memiliki usia yang sentiasa muda. Usia tua terpaksa juga dihadapi.
Bagaimanapun apa yang boleh dilakukan oleh setiap wanita ialah berusaha supaya wajah sentiasa nampak segar, berseri, garisan halus atau kedut dapat dikurangkan dan kulit muka nampak cerah dan halus.
Terdapat banyak cara bagi mengurangkan wajah nampak tua. Rawatan anti penuaan adalah salah satu rawatan yang boleh dilakukan oleh wanita terutamanya yang meningkat ke usia 40-an tahun.
Bagi wanita yang masih mencari-cari rawatan anti penuaan, mungkin anda boleh mencuba rawatan yang disediakan oleh pusat kecantikan dan kesihatan Haida Health ini.
Rawatan yang mengambil masa selama 90 minit ini sesuai bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas dan memiliki kulit muka yang kering dan berkedut.
Menurut pengarah pusat kecantikan ini Robiah Huri, bagi wanita yang mengalami masalah jeragat tebal, rawatan anti penuaan ini boleh dilakukan dua kali sebulan, sementara yang tidak mempunyai sebarang masalah kulit, boleh melakukannya sebulan sekali sahaja.
Katanya, kelebihan rawatan yang diberikan ialah, urutan pada muka tetap dilakukan dengan tangan bagi memberikan lebih kepuasan dan dirasai oleh pengguna.
Urutan dengan tangan penting kerana struktur muka akan lebih dirasai melalui sentuhan tangan.
Menggunakan alat tambahan seperti berus pembersih skinvigorate dan pengurut ion device Mary Kay, ia membersihkan muka dengan lebih mendalam dan terperinci.
Antara kelebihan berus pembersih skinvigorate ialah menanggalkan solekan 85 peratus lebih baik daripada menggunakan tangan, meningkatkan tahap penyerapan bagi langkah penjagaan kulit yang seterusnya, menambah baik rupa kulit dan memperhalus garisan halus dan kedutan.
Sementara pengurut ion device pula mengurut dengan lembut dan perlahan kulit muka yang telah disapu serum atau kosmetik.
Bagi hasil yang lebih baik, gunakan sekurang-kurang dua hingga tiga kali seminggu, lima hingga 10 minit sekali sesi. Ia juga sesuai bagi kegunaan harian.
Kata Robiah, langkah-langkah rawatan adalah sama seperti rawatan wajah yang lain. Perbezaannya cuma daripada penggunaan kedua-dua alat tersebut.
Sumber : www.utusan.com.my
Sopak sejenis penyakit kulit
Oleh mariatul qatiah zakaria
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar roy azis abd aziz
Sopak bukan penyakit berjangkit. – Gambar hiasan
SOPAK atau dalam bahasa perubatannya vitiligo merupakan sejenis penyakit kulit yang membuatkan penghidapnya mempunyai kulit bertompok-tompok putih yang tidak mempunyai pigmen.
'Kehadirannya' dipercayai berpunca daripada masalah pigmentasi, yang mana sel-sel yang menghasilkan pigmen, iaitu melanosit, dirosakkan oleh auto antibody atau antibodi yang dihasilkan oleh pesakit itu sendiri.
Tanda utama penyakit ini ialah timbulnya tompok-tompok putih di atas kulit, tetapi ia juga boleh melibatkan kawasan yang mempunyai rambut atau bulu seperti kening, misai, bulu roma dan sebagainya, selain boleh menukarkan rambut menjadi putih.
Penyakit vitiligo ini tidak menyebabkan rasa sakit atau gatal.
Menurut Pakar Perunding Dermatologi Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri, kebanyakan kes yang melibatkan penyakit sopak ini sering berlaku kepada mereka yang berumur di bawah 20-an,
Namun, ia boleh 'menyerang' sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat usia atau jantina.
Walaupun sopak bukanlah suatu penyakit berjangkit ataupun penyakit yang boleh mengancam nyawa, Dr. Mazlin memberitahu, ia boleh merosakkan kehidupan penghidapnya.
“Penyakit sopak ini walaupun pada dasarnya bukanlah satu penyakit yang berbahaya, tetapi ia mampu memberi kesan negatif kepada psikologi seseorang pesakit
“Sekiranya penyakit ini melibatkan bahagian muka atau mana-mana bahagian yang tidak boleh ditutup, pesakit akan berasa malu dan rendah diri dengan keadaan mereka.
“Tompokan putih di atas kulit juga kelihatan lebih ketara sekiranya pesakit mempunyai kulit yang gelap kerana kontras warna akan menjadi lebih jelas kelihatan.
“Untuk pengetahuan semua, penyakit sopak ini boleh menyerang beberapa kawasan badan secara serentak atau secara berperingkat-peringkat,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai penyakit tersebut, Dr. Mazlin memberitahu 'kelakuan' penyakit ini susah diramal kerana sesetengah pesakit mempunyai penyakit yang cepat merebak ke kawasan lain dan ada sesetengah pesakit yang mempunyai penyakit yang stabil, iaitu tompokan sopak tidak berubah menjadi lebih besar atau banyak.
Punca sebenar terjadinya sopak tidak diketahui secara sahih sehingga hari ini, bagaimanapun para doktor dan penyelidik masih terus menjalankan pelbagai kajian untuk mengesan punca atau asal-usul penyakit ini.
Setakat ini apa yang boleh disimpulkan daripada hasil kajian dan penyelidikan ialah faktor genetik didapati memainkan peranan dalam penghasilan penyakit ini.
Sopak terjadi akibat daripada penghasilan antibodi yang menyerang melanosit di kulit pesakit menyebabkan kemusnahan melanosit tersebut.
Kemusnahan melanosit akan menjejaskan penghasilan pigmen di kawasan yang terlibat dan menyebabkan kulit tiada pigmen (warna).
Menyentuh tentang rawatan untuk penyakit ini, Dr. Mazlin berkata, rawatan yang sedia ada perlu diteruskan untuk jangka masa berbulan-bulan hingga bertahun-tahun dan pesakit perlu faham akan hakikat ini.
“Rawatan penyakit ini terdapat dalam beberapa bentuk bergantung kepada beberapa faktor. Faktor pesakit termasuklah keluasan permukaan kulit yang terlibat dan jenis sopak itu sendiri sama ada ia jenis stabil (tidak berubah) atau sebaliknya.
“Rawatan first line ialah dengan menggunakan krim yang mengandungi bahan immunomodulator yang akan mengurangkan atau memberhentikan kerosakan melanosit yang disebabkan oleh antibodi. Ini sekaligus memberi peluang untuk pigmen kembali mewarnai tompokan yang terlibat.
“Rawatan foto terapi iaitu rawatan yang menggunakan pancaran cahaya ultra violetjuga boleh dilakukan di hospital-hospital yang mempunyai kemudahan tersebut.
“Kini, terdapat juga rawatan laser excimer dan rawatan pembedahan yang melibatkan kaedah pemindahan sel kulit atau melanosit yang diambil dari kulit normal pesakit itu sendiri.
“Namun, kaedah pemindahan sel atau kulit ini memerlukan kepakaran dan belanja yang tinggi.
“Oleh sebab itu, penggunaan kosmetik untuk menutup bahagian terlibat amat digalakkan, kerana proses untuk tompokan putih kembali ke warna asal akan mengambil masa. Penutupan kawasan putih dengan 'concealer' dan 'sun block” boleh digunakan sementara menunggu pigmen itu kembali kelihatan pada mata kasar , Tompokan sopak perlu dilindungi dari terdedah kepada matahari kerana tanpa pigmen, kulit yang terlibat tiada pelindung dari kerosakan yang boleh disebabkan oleh matahari ” tuturnya lanjut.
Sopak bukanlah panau dan ia juga bukan albino – walaupun pada peringkat awal, penyakit sopak boleh menyerupai beberapa penyakit kulit yang lain. Di akhir wawancara, Dr. Mazlin menasihatkan orang ramai yang ragu-ragu dengan tompokan putih yang ada pada mana-mana bahagian tubuh badan masing-masing agar berjumpa dengan doktor kerana rawatan yang dimulakan pada peringkat awal akan memberikan hasil yang lebih baik.
Sumber : www.utusan.com.my
Sawan demam bukan epilepsi
Sawan (seizure/fit/ convulsion) ialah fenomena akibat perubahan pada gelombang otak yang berlaku secara tiba-tiba.
Sawan demam merujuk kepada sawan di kalangan kanak-kanak yang berumur dari enam bulan hingga enam tahun yang demam akibat berlaku jangkitan atau radang selain jangkitan otak dan saraf.
Ia berlaku kepada kanak-kanak yang demam dengan suhu badan mencecah 38 darjah celsius (100.4 darjah Farenheit).
Lumrahnya sawan demam tidak menyebabkan kerosakan otak mahupun menggugat tahap intelektual kanak-kanak.
Kanak-kanak yang mengalami sawan demam tidak diberi diagnos epilepsi. Epilepsi bermaksud kejadian sawan sekerap dua episod atau lebih tanpa demam.
Sawan demam berlaku apabila kanak-kanak demam yang secara amnya akibat jangkitan virus atau bakteria (selain radang pada otak dan saraf di mana sawan merupakan salah satu petanda klinikal).
Terdapat dua jenis sawan demam iaitu ringkas (simple) atau kompleks. Sawan demam yang berlaku ringkas merupakan majoriti kes yang berlaku pada kanak-kanak melibatkan seluruh anggota badan. Ia juga berlaku sekali dalam episod demam dan tidak berulang.
Sawan kompleks pula jarang-jarang berlaku. Apabila berlaku ia mengambil tempoh lebih 15 minit yang adakalanya hanya satu anggota badan kaki atau tangan yang terlibat. Sawan ini berlaku lebih dari sekali dalam episod demam dan juga boleh berulang kali.
Selaku penjaga, ibu bapa perlu peka kepada perubahan suhu badan kanak-kanak supaya ubat demam dapat diberi mengikut dos dan tempoh masa yang sesuai.
Pada kebanyakan masa, sawan banyak berlaku serentak dengan demam. Penting bagi ibu bapa supaya tidak panik apabila berdepan dengan situasi tersebut.
Beberapa langkah boleh diamalkan oleh ibu bapa apabila anak mereka diserang sawan supaya mereka tidak mencederakan diri sendiri.
Antaranya, mereka tidak cuba memberhentikan sawan tersebut dengan memegang badan mereka secara kuat atau memasukkan sebarang objek dalam mulut.
Seeloknya letak anak dalam posisi mengiring untuk mengelak anak dari tersedak semasa hilang kesedaran sewaktu sawan.
Kelaziman tempoh sawan amat pendek. Ibu bapa harus membawa anak mereka berjumpa doktor walaupun sawan tersebut berhenti secara sendiri.
Sekiranya sawan berlarutan melebihi lima minit, hubungi pihak ambulan atau pergi ke unit kecemasan terdekat untuk bantuan serta merta.
Kanak-kanak yang dibawa berjumpa doktor akan diperiksa secara teliti untuk mengenal pasti punca jangkitan yang mengakibatkan demam.
Rawatan demam melibatkan pemberian ubatan seperti paracetamol dan antibiotik sekiranya petanda klinikal mencadangkan jangkitan bakteria.
Sekiranya sawan berlarutan atau berulang-kali, ubatan spesifik perlu diberikan untuk memberhentikan sawan. Ubatan biasanya diberikan secara suppository atau melalui dubur pesakit melainkan terdapat akses salur darah.
Bagi kanak-kanak bawah setahun, doktor mungkin mengesyaki jangkitan pada selaput otak (bergantung kepada petanda klinikal) dan ujian air tulang belakang disarankan kepada ibu bapa.
Bagaimanapun, sawan demam mungkin berulang dalam tempoh hayat kanak-kanak di bawah enam tahun.
Lebih kurang 30 peratus kanak-kanak yang mengalami sawan demam akan mengalami sawan demam berulang-kali tetapi tidak semestinya pada setiap episod demam.
Bagi kanak-kanak yang masih muda (umur bawah 18 bulan) sawan berlaku pada suhu bawah 40 darjah celcius semasa sawan julung kali. Sawan berlaku dalam tempoh sejam demam atau sejarah sawan demam dalam kalangan ahli keluarga.
Namun, kanak-kanak dengan sawan demam mempunyai tindak balas yang bagus dan tidak mengalami kesan negatif terhadap perkembangan minda mereka.
Risiko kanak-kanak mengalami epilepsi selepas satu episod sawan demam ringkas adalah hampir menyerupai risiko populasi umum.
Kebiasaannya mereka yang akhirnya menghidap masalah epilepsi datang dari golongan yang sediakala mengalami masalah perkembangan otak dan saraf, sawan demam kompleks dan sejarah keluarga epilepsi.
Sumber : www.utusan.com.my
7 MAKANAN KURANGKAN KOLESTEROL
References
- ^ 7 MAKANAN KURANGKAN KOLESTEROL (bit.ly)
- ^ http://bit.ly/jantung_sihat (bit.ly)
- ^ http://fb.com/infokesihatan/app_113349772082971 (fb.com)
- ^ E-melkan Ini (www.blogger.com)
- ^ BlogThis! (www.blogger.com)
- ^ Kongsi ke Twitter (www.blogger.com)
- ^ Kongsi ke Facebook (www.blogger.com)
- ^ Kongsi ke Pinterest (www.blogger.com)
Sumber : http://infokesihatan4u.blogspot.com/
Blog Archive
-
▼
2015
(88)
-
▼
April
(88)
- Khasiat Minyak Kelapa Dara Hasil kajian saintifik ...
- Diet sihat elak penyakit BERDASARKAN Kajian Kesiha...
- Apakah itu Tonsil? Tonsil ialah sejenis tisu limfo...
- 9 Panduan pengurusan ekzema ✔ Elakkan mandi terlal...
- Posisi Penyusuan / Breastfeeding Position ~ Posisi...
- TAK TAHAN KERAP SAKIT LUTUT?Kalau tak berubat, sus...
- SEBENARNYA ANDA ADA RESDUNG!!! MUKA BERJERAWAT? Hi...
- Beware!!
- Petua Kesihatan: Berikut adalah 10 Makanan Yang Me...
- pilihan di tangan anda.
- KATARAK-----------------Tanda-tanda dan simptom1. ...
- 10 TABIAT YANG MEROSAKKAN OTAK 1. Tidak mengambil ...
- tiga menu "bahaya"
- Keputihan tidak halang keintiman
- Risiko kanta lekap
- Fibroid semasa hamil
- Botak di usia muda
- Kulit baru harapan baru
- Risiko Obesiti semasa hamil
- Flos gigi, kumur mulut anda
- Teknik baharupembedahan saraf
- Hidup selesa tanpa GERD
- Implan dwi-stent untuk jantung
- Peria bersihkan darah
- Elak payudara membengkak
- Elak penyakit akibat jerebu
- Jangan abai tanda awal diabetes
- Rawat sebelum terlambat
- Vitamin C, kolagen untuk kulit
- Sakit permulaan haid
- Lambatkan penuaan
- Sopak sejenis penyakit kulit
- Sawan demam bukan epilepsi
- 7 MAKANAN KURANGKAN KOLESTEROL
- 3 Tip elak mulut berbau
- 5 Sebab Mengapa Rambut anda gugur
- Ancaman kencing manis
- Ekzima dan Psoriasis
- Rajin periksa kesihatan
- Sakit dada bukan hal remeh
- Kunyit bantu kawal diabetes
- Batuk biasa atau kronik?
- Penyakit kulit kronik
- Cara atasi sakit kepala
- Bukan sekadar sakit tekak
- Ramai tak tahu hidap darah tinggi
- Manfaat sayur dalam darah
- Bahana kolesterol tinggi
- Virus punca sakit tekak
- Kawal tahap kolesterol
- Ibu hamil lemah daya imun tubuh
- Racun yang manis
- Pastikan wanita kekal sihat
- Petua Mencantikkan Kening
- Petua Melentikkan Bulu Mata
- Petua Melicinkan Betis
- Petua Menghilangkan Rambut Berbuah
- Petua Merawat Kudis Buta
- Petua Menghilangkan Karat Gigi
- Petua Mengubati Lelah
- Petua Melegakan Pedih Perut
- Petua Melembutkan Ayam Tua
- Petua Mengelakkan Pedih Bawang
- Petua Membersihkan Microwave
- Petua Merawat Gusi Berdarah
- Petua Merawat Bibir Pecah Akibat Kepanasan
- Petua Memilih Ikan Segar
- Petua Melazatkan Ikan Beku
- Petua Melembutkan Sotong Kering
- Petua Menghilangkan Bau Durian
- Petua Mengurangkan Selesema Bayi
- Petua Menghilangkan Benjol
- Petua Menegangkan Kulit Muka
- Tips Diet Yang Mudah Dan Seimbang
- 10 Langkah Untuk Kehamilan Sihat
- Bahaya Sukan Pada Waktu Malam
- Tips Kesihatan Dari Nabi Muhammad SAW
- Makanan Terbaik Untuk Lelaki
- Khasiat Yang Terdapat Di Dalam Nasi
- 25 Tips Untuk Anak Pandai Bahasa Inggeris
- 10 Makanan Terbaik Untuk Kulit Yang Cantik
- Punca Dan Cara Mengatasi Rambut Beruban Sebelum Usia
- Serba-Serbi (Proses) Pembedahan Plastik
- Cara Kawal Penyakit Gout
- “Ubat Jahanam Tu Hancurkan Hidup Saya”
- Tips Amalan Pemakanan Sihat
- Petua Menjaga Kesihatan Mata
- Pembongkaran Rahsia Dan Petua Kecantikan Wanita Ke...
-
▼
April
(88)
No comments :
Post a Comment